Biar mengeluarkan tabungan peribadi selain mengelolakan sendiri persediaan persembahan eksklusif yang bakal diadakan pada 19 September ini, pemilik nama lengkap Norazmahwati Abdul Aziz itu sudah nekad.
Akuinya, tiada sesalan walaupun julung kali menjadi penganjur, sekali gus perlu membuat perincian dari A ke Z, dia menyifatkan setiap momen menuju hari showcase sebagai pelayaran indah selepas lebih tiga dekad di arena seni.
“This Is Noryn Aziz sesuatu yang sangat peribadi buat saya. Saya memperincikan showcase ini sebaik mungkin agar meninggalkan momen abadi buat khalayak.
“Kalau sebut modal, tiada dana atau tajaan sebab projek ini dimulakan beberapa bulan lalu. Apabila kita sudah nekad selain memang saya ada berdikit-dikit buat simpanan, jadi kita jalan sahaja.
“Malam itu nanti adalah refleksi kisah perjalanan hidup dan seni, selain penghormatan buat cinta, warisan dan segala-gala yang menjadikan saya seperti hari ini,” katanya usai pelancaran single baharu berjudul Kaki Kiriku, baru-baru ini.
Menurut penghibur berusia 48 tahun itu, dia sengaja memilih Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang disifatkan lokasi paling tepat bagi sebuah persembahan bersifat intimasi.
“Saya orangnya suka dekat dengan penonton, bercerita dan ingin karya dendangan terus melekat di sanubari membuatkan saya pilih auditorium ini yang boleh memuatkan 500 penonton.
“Mungkin jika ada rezeki dan permintaan, kita dapat buat pula konsert di venue lebih besar untuk konsert pula. Paling pasti, saya realisasikan This Is Noryn Aziz kerana mahu bawa muzik jazz keluar dari rumah yang dianggap eksklusif untuk golongan tertentu.
“Bagi saya jazz dan R&B kontemporari juga sebahagian daripada landskap ‘bunyi’ Malaysia. Saya mahu jazz itu berbunyi dengan bahasa, ritma dan jiwa kita,” ujarnya yang pernah beraksi di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 2009.
Kaki Kiriku mainan lidah
Menurut Noryn juga guru vokal, persembahan itu nanti bakal dibahagikan kepada dua babak utama iaitu turut menampilkan lagu Kaki Kiriku serta seleksi Parisian-Melayu yang unik seperti Syurga Sempurna dan Hoore Hoore dengan diberi nafas jazz klasik moden.
Babak kedua pula segmen Celebration atau keraian yang sarat tenaga dan emosi ini bersama irama R&B kontemporari seterusnya menyatukan penonton dalam suasana perayaan menerusi lagu Fantasi O Realiti dan Alam Maya.
Menyentuh mengenai Kaki Kiriku, Noryn mengakui kekuatan karya ciptaan Reza Salleh dan Hin Ee Jeng terletak kepada rentak ‘catchy’ jazz joget revival bersama lirik sarat dengan penggunaan ‘tougue twister’ atau lidah berbelit Melayu.
“Pertama kali mendengar melodinya yang rancak dengan gabungan joget tradisional, jazz klasik dan parisian jazz buat saya jatuh hati. Seni kata pula sangat unik tetapi garapannya mengikut permintaan saya.
“Kaki Kiriku juga mengikuti arus semasa yang saya yakin mampu menarik perhatian peminat muzik terutama Gen Z dan diharap jadi trend dalam TikTok.
“Ramai tersasul apabila menyebut lirik ‘Kakakku kata kuku kakiku kaku, ku kikis kikis kuku kaki kiriku’. Inilah yang dikatakan permainan lidah dan buatkan single ini lebih istimewa,” ujarnya.
Muzik video yang menyaksikannya mengangkat budaya Melayu menerusi pemilihan kebaya serta berkain batik itu diarahkan Revo bersama sentuhan kreatif Patt Ibrahim. – HIBGLAM