Hadie atau nama sebenar Ehmad Hadie Elfardie Mohd Suhaimi, 17, berharap orang ramai tidak lagi menghamburkan kutukan terhadap ibunya yang didakwa tidak menghormati juri apabila beremosi atas pentas.
Baru-baru ini viral mengenai ibu saya, jadi saya minta maaf berkenaan perkara itu. Mungkin semua sebab salah saya kerana tidak betul-betul jaga ibu masa itu.
“Sepatutnya saya perlu ‘kunci’ ibu saya. Kepada netizen, sudah-sudahlah, bolehlah berhenti (kecam),” katanya dalam siaran langsung di TikTok.
Hadie yang juga anak kepada bekas anggota kumpulan Inteam, Allahyarham Suhaimi Saad, menjelaskan tindakan insan kesayangannya itu dilakukan atas dasar mahu memberikan yang terbaik untuknya.
“Jangan kecam ibu saya lama-lama, sudah macam-macam usaha dia lakukan. Dia buat semua itu sebab saya, bukan untuk diri dia atau mahu kejar nama.
Takut dia lemah semangat dan saya pun jadi tak tentu arah. Saya di sini pun sebab ibu. Ada yang komen positif tentang saya, tetapi dalam masa sama burukkan ibu pula. Rasanya saya akan makin semangat atau makin panas?,” ujarnya.
Sebelum ini, tindakan Ina atau Nordiana Mohd Naim, 41, menjadi sorotan selepas didakwa bertindak keterlaluan ketika muncul dalam program Talk To My Manager yang disiarkan secara langsung pada Ahad lalu.
Ibu kepada empat anak itu dikatakan bersikap defensif apabila kerap membidas komen juri sekali gus dituduh kurang ajar.
Hadie merupakan seorang daripada peserta program pertandingan nyanyian yang menampilkan pasangan pengurus dan artis terdiri daripada ibu atau bapa selebriti bersama anak mereka. – HIBGLAM