‘Saya wanita paling bahagia dengan Fatima di sisi’

Demikian kata pelakon Nur Fazura atau nama lengkapnya, Nur Fazura Sharifuddin menjawab kenyataan seorang wanita dalam media sosial yang memberi kata-kata semangat buatnya mendepani kehidupan secara sendirian tanpa sosok lelaki bernama suami.

Fazura, 42, berkata, dia mendoakan wanita itu dilimpahkan segala sinar kebaikan yang bermurah hati mendoakan yang terbaik buat kehidupannya.

Percayalah, saya sangat mensyukuri (nikmat hidup) dan kini wanita paling bahagia bersama cinta hati iaitu anak tersayang (Fatima) di sini.

“Saya mendoakan anda dilimpahkan kasih sayang tidak berbelah bahagi dan pelukan untuk segala doa baik berbalik kepada anda,” coratnya menerusi Threads.

Terdahulu, seorang wanita dikenali sebagai Farah menitipkan doa buat pelakon filem Pisau Cukur selain menyatakan hidup bersendirian bukan bermakna satu kelemahan.

Saya cuma nak ingatkan hidup berseorangan bukan satu kelemahan.

“Ia satu peluang untuk bertemu dengan kekuatan, cipta memori dengan anak kurniaan Ilahi (Fatima) dan berdamai dengan cinta yang betul-betul penting dalam hidup,” demikian antara pesanan wanita terbabit buat Fazura.

FAZURA memberi respons terhadap kata-kata semangat yang dititipkan peminatnya.

Semalam, dunia hiburan tanah air digemparkan dengan berita bekas suami Fazura iaitu Fattah Amin bakal mengakhiri zaman dudanya apabila akan menikahi penyanyi, Amira Othman 14 September ini.

Difahamkan, pasangan berkenaan memilih tarikh 14 September 2025 sebagai hari pernikahan, bertepatan dengan ulang tahun kelahiran bintang drama Suri Hati Mr. Pilot itu sendiri.

Untuk rekod, Fattah pernah mendirikan rumah tangga bersama aktres Fazura pada 27 November 2017, namun berpisah pada 7 Oktober tahun lalu.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, kini berusia empat tahun. – HIBGLAM