‘Saya tundukkan pandangan supaya tak tergoda dengan lelaki’

Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin, 51, bagaimanapun berkata, dia tidak pernah menutup pintu hati namun lebih rela berundur sebaik didekati lelaki berkeluarga demi menjaga kehormatan dan tidak merosakkan rumah tangga wanita lain.

“Sebenarnya ramai datang nak berkawan suami orang. Walaupun berwajah kacak dan ekonomi kukuh, saya tarik ‘handbreak’ (undur) sebab tidak mahu masalah kemudian hari.

Ada juga lelaki duda dan bujang yang cuba mendekati. Mungkin juga mereka ‘approach’ saya tidak kena cara dan tidak sampai di hati. Saya pula wanita manja, jadi apabila mula berkawan tiba-tiba perasaan itu hilang.

“Sekarang saya banyak tundukkan pandangan supaya tidak tergoda dengan mana-mana lelaki. Status terkini saya ‘single’,” katanya ketika ditemui pada pengumuman Konsert Inul Daratista Live in Malaysia ‘Millenial Dangdut Nusantara’, di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, semalam.

Ibu kepada enam anak itu turut mengakui, barangkali sudah lali hidup sendiri membuatkannya tidak terkejar-kejar untuk membina perhubungan baru

“Selepas ‘menghilang’ dan kembali semula dalam indsutri sejak 10 tahun lalu saya fokus kepada anak-anak. Namun apabila mereka dewasa, timbul pula rasa rendah diri.

Nak mengurat pun tak pandai walaupun anak-anak beri ‘green light’, tapi saya tidak terfikir sangat ke arah berumah tangga semula,” ujarnya.

Mengenai konsert pula, Amelina teruja peluang berkongsi pentas dengan penyanyi dangdut terkenal Indonesia, Inul Daratista di Setia Spice Arena, Pulau Pinang pada 6 Disember depan.

Inul merupakan penyanyi dangdut tersohor, tidak hanya di Indonesia bahkan di Malaysia. Apabila diberi peluang untuk sepentas dengannya tentu saya berkali ganda gembira.

“Kami memang kawan lama. Pada masa sama secara tidak langsung dapat mempromosikan dangdut Malaysia kerana dangdut Indonesia dan Malaysia ada sedikit perbezaan,” katanya.

Selain Amelina dan Inul, Konsert Inul Daratista Live in Malaysia: Millennial Dangdut Nusantara menampilkan penyanyi, Baby Shima.

Terdahulu, Amelina pernah mendirikan rumah tangga dengan Reduan Mahamood pada 26 April 1999 dan bercerai selepas 16 tahun berkahwin. – HIBGLAM