Hariz atau nama lengkapnya Muhammad Haris Mohd. Ismail berkata, mengejutkan apabila syarikat sama yang membubarkan perjanjian tampil beberapa tahun kemudian menawarkan bayaran berkali ganda selepas melihat gaya muslimah itu menjadi ikutan.
“Ada sebuah syarikat besar dari Perancis jual produk penjagaan wajah. Mereka kata, ‘Neelofa sudah pakai niqab, jadi kami perlu fikirkan semula nak ambil dia atau tidak.’ Mereka bubarkan kontrak yang nilainya jutaan ringgit.
Kalau saya, projek berjuta macam ini saya akan minta mereka sambung semula, tapi Neelofa tak pilih macam tu. Apabila pakai niqab dan tonjolkan cara pemakaian yang ‘trendy’, ramai orang pun beli.
“Kemudian, syarikat yang buang dia datang kembali bagi tawaran berkali ganda lebih tinggi berbanding dahulu, mereka minta dan merayu Neelofa menjadi duta,” katanya dalam sebuah video tular, baru-baru ini.
Imbasan ketika penampilan awal Neelofa atau Noor Neelofa Mohd. Noor berpurdah sekitar tahun 2020 itu dikongsikan PU Hariz dalam sebuah majlis ilmu yang difahamkan berlangsung di Tawau, Sabah.
Perkongsian tersebut dibuat bagi menunjukkan bahawa para muslimah tidak perlu bimbang untuk memilih gayamenutup aurat sepenuhnya.
Menjengah ruangan komen, rata-rata pengikut terinspirasi dengan kekuatan semangat usahawan selebriti terbabit yang tidak goyah serta terus istiqamah.
Tinggalkan sesuatu kerana Allah, maka Allah akan gantikan beribu-ribu kebaikan,” tulis seorang netizen.
“Rasa sebak dengan kisah penghijrahan Neelofa. Semua kita semua terpilih menjadi wanita solehah dan menutup aurat dengan sempurna,” ujar pemilik akaun TikTok lain.
Selebriti yang bergelar isteri kepada pendakwah bebas terbabit pada Mac 2021 juga ibu kepada dua anak itu memilih untuk mengenakan niqab setahun sebelum berkahwin. – HIBGLAM