Inul atau nama sebenarnya Ainul Rokhimah, 46, berkata, kemelut daripada perasaan tidak puas hati rakyat berkaitan pelbagai perkara secara tidak langsung turut menjejaskan perniagaannya yang menaungi ribuan pekerja.
“Situasi yang melanda Indonesia membuatkan saya sedih kerana beri kesan termasuk kepada perniagaan. Saya mempunyai 5,000 pekerja yang turut terkena tempias.
“Walaupun saya tidak ikut berdemontrasi tetapi saya mengikuti perkembangan semasa membabitkan apa yang sedang berlaku sekarang terutama politik di Indonesia.
“Tapi syukur, keadaan kini reda. Harapnya semua aman dan urusan harian kembali pulih seperti sedia kala,” katanya selepas sidang media pengumuman Konsert Inul Daratista Live in Malaysia ‘Millenial Dangdut Nusantara’, di Hard Rock Cafe, hari ini.
Pada masa sama, penyanyi yang popular dengan goyang gerudi itu bersimpati kepada beberapa ahli dewan perwakilan rakyat (DPR) juga rakannya yang terbabit dalam kemelut berkenaan.
“Saya sendiri rasa serba salah kerana mereka yang terlibat adalah kenalan, terbabit dalam arena seni. Apa lagi ia juga melibatkan rakan-rakan saya seperti Eko Patrio dan Uya Kuya.
“Ada antaranya sudah digantung tugas serta dipecat. Tapi semoga ini menjadi pengajaran untuk semua dan mengambil iktibar dengan apa yang berlaku.
“Doakan Indonesia terus aman, semakin kondunsif. Semoga tidak ada lagi situasi bakar-bakaran,” kongsinya lagi.
Inul yang diterbangkan ke Kuala Lumpur pagi tadi turut berkongsi perincian konsert yang bakal berlangsung di Setia Spice Arena Pulau Pinang pada 6 Disember depan.
Penyanyi lagu Separuh Nafas itu mengakui teruja beraksi kembali di pentas mega di Malaysia selepas kali terakhir beraksi di negara ini sekitar 20 tahun lalu.
“Saya gembira dapat kembali membuat persembahan di Malaysia. Kali terakhir saya berada di Malaysia sebagai juri Maharaja Lawak Mega 2019. Tapi selepas itu saya kerap bercuti di Kuala Lumpur.
“Jadi apabila dilamar, saya tidak menunggu lama untuk buat keputusan, terus bersetuju. Tambahan pula dapat beraksi dengan kawan lama saya, Amelina dan anak didik, Baby Shima.
“Sudah tentu saya akan belanja goyang gerudi yang menjadi ‘trademark’ sejak awal pembabitan saya lebih dua dekad lalu,” katanya.
Tiket bagi konsert anjuran Fajar Baiduri Empire mula dijual hari ini menerusi www.myticket.asia. – HJBGLAM