Menerusi filem arahan Adrian Teh itu, Sharnaaz buat julung kalinya membawakan watak ahli silap mata handalan bernama Hadini.
Biarpun Magik Rompak mendapat tepukan gemuruh penonton semasa majlis tayangan perdananya baru-baru ini, Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 40, pula terpaksa berperang dengan emosinya.
Kongsi Sharnaaz, menonton filem itu membuatnya terkenang semula memori sedih kehilangan bapa tercinta, Allahyarham Datuk Basir Ahmad yang meninggal dunia pada November tahun lalu ketika penggambaran masih berjalan.
“Filem ini mengamit memori yang sangat perit buat saya. Bapa saya nazak dan meninggal semasa saya menjalani penggambaran filem ini. Semasa mendapat berita arwah bapa sakit, niat saya hanya kerja kerana fikiran memang sudah risaukan bapa.
Ada dua babak yang membuat saya berasa sedih. Pertama, ketika babak pembukaan semasa saya berada di atas kontena, waktu itu saya dapat tahu bapa sedang nazak dan juga babak imbas semula.
“Semua reaksi babak imbas semula itu, seperti rasa kosong dan rasa kehilangan adalah benar kerana penggambaran dibuat dua hari selepas bapa saya meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem Magik Rompak di IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini.

KATA Sharnaaz, apapun yang berlaku di set penggambaran, dia perlu melunaskan tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
Sharnaaz turut berkongsi penghargaan terhadap Adrian yang memahami situasi sukar itu meskipun produksi terpaksa menanggung kerugian besar.
“Adrian antara orang yang paling rapat dengan saya sekarang. Saya masih ingat kata-kata dia, ‘kalau aku tak bagi kau balik jumpa bapa, aku akan menyesal sampai bila-bila’. Disebabkan itu, saya sempat ada masa terakhir bersama arwah, walaupun ketika itu bapa sudah tidak sedar.
Bayangkan, set yang digunakan bernilai hampir RM100,000 sehari termasuk kos kontena, crane, lampu, teknikal dan pelakon tambahan. Tetapi dia rela rugi kerana nilai keluarga lebih besar. Itu buat saya rasa terhutang budi dengan dia sebagai kawan dan pengarah,” ujarnya.
Menyambung bicara tentang wataknya sebagai Hadini, kata Sharnaaz, dia mengambil masa selama enam minggu untuk berlatih tentang silap mata di bawah bimbingan jurulatih profesional.
“Bukan saya seorang, semua pelakon utama ada latihan aksi dan magik. Cuma saya dengan Nadhir Nasar paling lama berlatih. Pengajar kami sangat sabar sebab tangan saya keras, sedangkan seorang ahli silap mata perlukan tangan yang lembut,” katanya berseloroh.
Inspirasi
Sementara itu, Adrian Teh menjelaskan Magik Rompak merupakan percubaannya untuk membawa pembaharuan dalam dunia perfileman tempatan dengan mengangkat genre baharu.
“Selepas aksi ketenteraan, saya mahu cuba sesuatu yang segar. Genre magik ini memang cabaran besar kerana bukan sahaja memerlukan elemen hiburan, tetapi juga jalan cerita yang menarik.
Banyak babak menggunakan CGI (imej janaan komputer) yang rumit dan aksi berbahaya. Misalnya, adegan pisau yang kita rakam menggunakan ‘robotic arm’ serta gabungan komposisi 3D. Itu antara usaha saya untuk memastikan penonton dapat merasai pengalaman sinematik bertaraf antarabangsa,” ujarnya.

MENERUSI Magik Rompak, Adrian memperkenalkan nuansa filem baharu kepada penonton.
Namun, sebelum tayangan bermula lagi orang ramai sudah memberi komen bahawa filem ini tidak original kerana didakwa meniru filem Hollywood terkenal, Now You See Me.
Ya, memang saya ambil inspirasi daripada genre itu, tetapi cerita ini olahan saya sendiri dengan gaya Malaysia. Jalan cerita dan emosi pelakon kita berbeza, cuma ada elemen magik sebagai tarikan,” jelasnya.
Selain Sharnaaz, filem Magik Rompak turut dibintangi oleh Zul Ariffin, Amelia Henderson, Nadhir Nasar, Yasmin Hani, Miller Khan, Fabian Loo, Elvina Mohamad dan Tay Ping Hui.
Magik Rompak merupakan percubaan genre baharu oleh Adrian Teh yang terkenal dengan karya aksi ketenteraan seperti PASKAL: The Movie (2018), Wira (2019) dan MALBATT: Misi Bakara (2023).
Filem yang menggabungkan elemen aksi, jenayah dan fantasi ilusi itu mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 11 September lalu.
Harapan
Tambah Sharnaaz, sebagai pelakon yang telah cuba sehabis baik, dia mengharapkan filem yang ditayangkan sempena musim cuti sekolah dan Hari Malaysia akan mendapat sambutan daripada penonton.

MENGGABUNGKAN magik dan jenayah, filem terbaharu lakonan Sharnaaz ini turun membariskan ramai nama besar termasuk Amelia dan Zul
Ariffin.
Bahkan sempena sambutan Hari Malaysia yang jatuh pada hari ini, Sharnaaz sempat menitipkan kata-kata buat peminatnya.
“Filem ini pun sudah melambangkan keunikan karyawan seni Malaysia. Dalam filem ini kita ada berbilang bangsa daripada pelakon, pengarah sehingga ke barisan kru.
Kira lengkap satu Malaysia dalam filem ini. Semangat dan keharmonian itu ada dalam filem ini. Sebagai rakyat Malaysia saya berbangga kerana kita boleh bekerja dengan berbilang bangsa tanpa sebarang masalah.
“Jagalah apa yang kita ada. Buatlah penonton datang ke pawagam sokong karya tempatan kerana filem ini menjanjikan hiburan dan jalan cerita yang berbeza,” ujarnya menutup bicara. – HIBGLAM