‘Mungkin kena pujuk Salman Khan kahwini saya’

Itu respons penyanyi, Azharina Azhar, 40, saat ditanya soal jodoh.

Menurut Azharina atau lebih mesra dengan panggilan Nina, ramai lelaki takut untuk mendekatinya.

Tak tahulah. Belum ada lelaki yang berani nak mengurat saya. Mereka asyik takut tengok saya.

“Mungkin juga saya perlu memujuk Salman Khan untuk mengahwini saya kerana dia lelaki teragung, cinta hati saya sejak  masih anak dara sunti sehinggalah menjadi janda,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelantun lagu Elegi Sepi itu lagi, selepas hampir dua dekad bergelar janda, soal jodoh bukan lagi menjadi keutamaannya.

“Saya dah tak kisah jodoh datang cepat atau lambat. Saya tak mahu hidup dalam tekanan. Sejak akhir-akhir ini banyak kes penceraian berlaku. Saya tak mahu pening-pening.

Biarlah saya fokus dengan keperluan hidup buat masa sekarang iaitu membesar dua anak saya, King Rahmat dan King Redha.

“Mereka adalah tanggungjawab saya dan juga syarikat saya. Jadi fokus saya adalah kerja. Jika ada lelaki yang ingin mendampingi, dia perlu faham saya, bukan saya yang kena faham dia,” ujarnya.

Ditanya sama ada pernah didekati lelaki yang ingin mengisi kekosongan hatinya sepanjang 17 tahun hidup menjanda, kata  juara Bintang RTM 2001 tanpa berselindung mengakui ada beberapa percubaan namun tidak berjaya.

“da yang sudah berjumpa dengan arwah bapa saya. Tetapi bapa saya tak terima. Kata bapa, biarlah saya cari duit sendiri.

“Kalau boleh saya mahu hubungan seperti yang saya pernah ada sebelum ini iaitu hubungan yang penuh dengan hormat dan kasih sayang. Susah sebenarnya nak cari pengganti,” jelasnya.

Untuk rekod Azharina pernah berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Shukri Mohamed pada 2005 namun bercerai pada 2008. – HIBGLAM