‘Lepas Siti Saleha menang, saya terkejut’

Masakan tidak, keampuhan bakat melayakkannya terbang jauh menembusi pasaran Indonesia khususnya di layar perak.

Kali ini, namanya semakin menyinar apabila dicalonkan pada acara, Seoul International Drama Awards (SDA) 2025 menerusi lakonan drama Hai Cinta, Dengarkanlah.

Menurut bintang berdarah campuran Melayu-Inggeris itu, dia bakal menghadiri anugerah tersebut Oktober depan di Seoul, Korea Selatan.

Alhamdulillah, saya sangat teruja dan gembira apabila lolos dalam kategori Outstanding Asian Star bersama calon serantau lain.

“Saya memang tak sangka sebab waktu tahu mengenai anugerah ini, saya sedang jalani penggambaran. Tidak boleh fokus sangat.

Lepas Siti Saleha menang, saya terkejut. Ternyata kita boleh bawa nama Malaysia ke negara lain,” katanya kepada HibGlam.

Berkongsi lanjut, pelakon yang mula meledak menerusi drama Melur Untuk Firdaus itu tidak meletakkan sebarang harapan untuk menggondol trofi.

Sebaliknya, dia sudah cukup berpuas hati apabila dapat berada dalam senarai pencalonan kategori yang turut menjadi tumpuan ramai itu.

“Tak pernah fikir bertanding nak menang. Tercalon pun dah satu anugerah bagi saya.

Tak menang pun tak mengapa, yang penting dapat meraikan semua yang terbabit.

“Saya juga lebih fokus terhadap usaha untuk selalu buat Malaysia bangga. Jadi, saya rasa itu adalah cara bawa nama negara ke luar,” ujarnya.