Mereka dengan tegas mendesak gencatan senjata di Gaza termasuk penerima trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Kategori Komedi juga pelakon siri Hacks, Hannah Einbinder, 30.
Selain berterima kasih kepada penerbit, aktres dan pelawak yang turut memakai pin merah Artists4Ceasefire iaitu simbol desakan menggesa Amerika Syarikat menyegerakan gencatan senjata mengutuk serangan di Gaza.
Di belakang pentas, Einbinder turut mendedahkan mempunyai ramai rakan yang bertugas sebagai sukarelawan kesihatan di negara dijarah rejim Zionis itu.
Seorang lagi rakan seperjuangannya, pelakon Sepanyol Javier Bardem pula tampil di karpet merah majlis pengiktirafan tahunan itu semalam dengan mengenakan keffiyeh Palestin.
Pada masa sama, suami kepada aktres Penelope Cruz itu menegaskan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menyokong kekejaman di Gaza.
Tidak mengapa andai saya kehilangan pekerjaan. Itu bukan isu besar. Apa yang berlaku di sana (Gaza) lebih wajar mendapat perhatian,” katanya kepada media.
Gelombang solidariti tersebut turut disertai ramai penggiat seni lain termasuk Aimee Lou Wood dan Natasha Rothwell, Ruth Negga serta Chris Perfetti yang kesemuanya memakai pin merah serupa.
Sejak dua tahun lalu pin Artists4Ceasefire menjadi simbol protes menuntut gencatan senjata kekal selain desakan penghantaran segera bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dipakai di beberapa majlis anugerah seperti Oscar.
Beberapa bulan lalu seramai 3,900 pekerja industri perfileman Hollywood mendatangani petisyen enggan bekerjasama dengan pihak yang menyokong penjarahan Palestin. – HIBGLAM