Menurut Atikah atau nama lengkapnya Nur Atikah Mohd Suhaime, 34, suaminya bertindak menegur cara pertuturannya semakin kasar selepas dihujani pelbagai tawaran pekerjaan.
Alhamdulillah sejak ada anak, rezeki mengalir macam air. Saya dapat banyak tawaran reviu, jadi memang sangat sibuk.
“Ketika gantikan lampin anak, saya rasa marah bila tengok suami main telefon dan tak bantu.
Saya terus terlepas cakap, ‘asyik tengok telefon sahaja, tolonglah sini, macamlah dapat satu juta bila tengok telefon.’
“Suami saya tegur, ‘sejak kebelakangan ini rezeki banyak tapi awak asyik cakap kurang ajar dengan saya’” katanya dalam video TikTok baru-baru ini.
Sedar khilar diri, dia kemudian memohon maaf kepada suami dan mengakui perkara tersebut berlaku disebabkan keletihan akibat bebanan kerja.
“Betul, kebelakangan ini saya memang sangat kurang ajar dengan suami.
“Mungkin sebab penat dan banyak buat siaran langsung TikTok.
Jadi, bila suami buat silap sikit, saya terus melenting tapi dia tetap sabar. Saya rasa bersalah dan minta maaf padanya,” ujarnya.
Katanya, dia bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang memahami dan sentiasa membahagiakannya dengan membawanya menikmati juadah Jepun.
Saya sangat bertuah, walaupun marah-marah tapi suami masih sayang dan bawa pergi makan makanan Jepun,” tuturnya.
Dalam masa yang sama, Atikah menitipkan nasihat kepada wanita bekerjaya agar tidak sesekali mengabaikan suami walaupun sibuk bekerja.
Kadang-kadang sebagai seorang perempuan, kalau kita dapat cari duit sendiri akan rasa terlalu hebat.
“Jangan lupa, kalau bukan sebab izin Allah SWT, tak mungkin kita boleh dapat banyak rezeki.
“Jangan sombong dengan suami, walaupun kita bekerja,” pesannya lagi.
Terdahulu, Atikah mendirikan rumah tangga dengan Lokman pada 21 Januari tahun lalu.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan cahaya mata sulung yang dilahirkan pada 8 Mac lalu dan diberi nama Lyla Mulan Teh. – HIBGLAM