Doja atau nama sebenarnya, Amalaratna Zandile Dlamini, 29, yang berhenti seketika di hadapan wakil media bagi sesi merakamkan foto ketibaan selebriti dilihat mengoleskan gincu dibibir sebelum mengunyah dan menelan alat kosmetik itu.
Aksi selamba penyanyi yang tampil menggayakan gaun Balmain dengan gaya rambut kembang ala Dolly Parton itu membuatkan lensa kamera di pekarangan UBS Arena, New York tidak putus terarah kepadanya.
Tanpa berselindung, Doja mengakui tindakannya adalah gimik sempena pelantikan sebagai duta global bagi sebuah jenama kosmetik antarabangsa.
“Saya sudah lama jadi duta kosmetik itu dan kini saya dapat membawa rasa cinta tersebut di pentas global.
Solekan adalah cat saya, perisai saya serta cara saya mencipta karakter diri,” katanya menerangkan aksi dilakukan pada acara terbabit.
Walaupun perbuatan itu dianggap pelik, ramai berpendapat gimiknya menjadi sekali gus meletakkan Doja sebagai ikon dunia fesyen dan hiburan
Sementara itu, Doja mencatat pencapaian baharu apabila tercalon di VMA musim ini menerusi kategori Lagu K-pop Terbaik hasil kolaborasi bersama Lisa dan Raye menerusi Born Again.
Pada acara yang dikendalikan penyanyi rap LL Cool J, dia turut tampil memanaskan pentas bersama Sabrina Carpenter, Mariah Carey dan Jelly Roll.
Sepanjang karier muziknya lebih sedekad lalu, Doja meraih pelbagai pengiktirafan termasuk satu trofi Anugerah Grammy, enam Billboard Music Awards, lima American Music Awards (AMAs), enam VMA dan lapan iHeartRadio Music Awards. – HIBGLAM