Menurut bekas peserta program realiti Raise The Star itu, bersandarkan pengalaman sendiri, dia mendapati kerjaya sebagai pencipta kandungan memberi pendapatan lumayan.
“Kalau tidak menjana pendapatan, sudah tentu kami tidak akan serius melabur masa dan tenaga. Untuk menghasilkan kandungan, modal yang diperlukan juga bukan sedikit.
“Sebagai contoh, bahan kandungan penerokaan paranormal memerlukan sekurang-kurangnya RM20,000 bagi jelajah ke seluruh Malaysia.
“Kami juga ada perancangan untuk ke Jepun khususnya di Hutan Aokigahara yang mana kos keseluruhan boleh mencecah RM100,000,” katanya kepada HibGlam.
Tambahnya, setiap pempengaruh harus bijak merancang kerja terutama apabila terjun dalam bidang perniagaan.
“Bagi kami, perancangan teliti adalah kunci utama bagi setiap tugasan. Macam kami, jadual kerja telah diatur sehingga hujung tahun ini.
“Jika kena percaturan, kerjaya ini bukan sahaja ada masa depan cerah, malah boleh menjadi platform bisnes jangka panjang,” ujarnya ketika ditemui pada majlis menandatangani pelantikannya sebagai duta Empire Reka cawangan Klang, baru-baru ini.
Bercakap mengenai Empire Reka, kedua-dua mereka tidak menyangka dapat berada dalam bidang perniagaan perabot.
Malah, mereka juga berharap mampu memberikan hasil yang terbaik atas kepercayaan yang diberikan.
“Asalnya kami cuma reviu kedai di Sungai Petani, Kedah, tapi kemudian meraih kepercayaan untuk dipilih sebagai duta dan pemegang saham cawangan di Klang.
“Bagi kami, ini satu perkara baru dan amanah besar, tanggungjawab pun sangat berat. Kami harap boleh bawa dengan baik sebab kebetulan, kami berdua memang jenis suka cabar diri.
“Memang kami bukan dalam ‘line’ (bidang) pemasaran. Malah, bahan kandungan kami pun lebih kepada hiburan. Maka jika diubah kepada pemasaran, memang ambil masa,” tuturnya. – HIBGLAM