Indonesia pulih, Nadhif Basalamah lebih semangat bikin konsert

Katanya, Konsert Nadhif Basalamah – Menjaga Hati Asia Tour 2025 Live in Kuala Lumpur di The Exchange Hall, Petaling Jaya bakal direalisasikan sepenuh jiwa sebagai tanda terima kasih kepada peminat tempatan yang turut mendoakan kesejahteraan tanah airnya.

“Syukur keadaan di Indonesia semakin membaik seterusnya melegakan hati semua warga termasuk diri saya sendiri yang selalu berdoa agar semuanya pulih seperti sedia kala.

“Ketika demontrasi berlaku di Jakarta serta beberapa wilayah lain memang ada kerisauan. Saya terfikir dapatkah saya ‘terbang’ ke Kuala Lumpur bagi merealisasikan konsert ini?

“Kini semuanya tenang dan melegakan hati saya untuk beraksi malam ini, juga menjadi medan untuk kami menzahirkan terima kasih kepada teman di Malaysia yang tidak putus mendoakan Indonesia,” katanya menerusi sesi wawancara secara Zoom dengan HibGlam.

Teruja dengan respons penggemar di negara ini, kata pelantun lagu Penjaga Hati itu biarpun tahun lalu pernah mengadakan persembahan di Zepp Kuala Lumpur tahun lalu, aura bagi konsert solo sangat berbeza.

Akui komposer berusia 25 tahun itu,
konsert solo itu juga merupakan transisinya daripada bakat muda hingusan kepada penyanyi matang.

“Sudah pasti saya teruja kerana sebaik ditawarkan penganjur bersama, After School dan Banyak Bagus Entertainment, 100 peratus usaha dan kesungguhan saya berikan kepada konsert ini.

“Bahkan selain Kuala Lumpur, saya juga sudah bersedia melengkapkan siri jelajah Asia Tenggara termasuk di Singapura pada 12 September iaitu esok.

“Penonton boleh melihat kematangan sisi peribadi serta garapan yang diharap memberi ketengangan kepada pendengar dari permulaan terjun ke arus muzik perdana sekitar awal 2000 hingga sekarang,” ujarnya.

Terdahulu, Nadhif mula mencuri perhatian peminat muzik Nusantara selepas debut pada Julai 2022 dengan single Wonder in Time seterusnya
dipilih sebagai pembuka konsert Tulus dalam siri jelajah Manusia di Makassar.

Beberapa lagu ciptaannya seperti To Be With Me dan Without Me (Sera) turut menjadi siulan, namun karya yang melonjakkan popularitinya adalah Penjaga Hati pada 2023.

Tiket bagi Konsert Nadhif Basalamah – Menjaga Hati Asia Tour 2025 Live in Kuala Lumpur boleh ditempah menerusi laman web ticketmelon. – HIBGLAM