Hening Rindu rangkul pingat emas ContentAsia Awards 2025

Marsha atau nama sebenar, Marsha Milan Londoh, 40, menyifatkan kemenangan itu adalah hasil kejayaan semua pihak dalam pasukannya termasuk komposer yang memastikan mutu naskhah terbabit mempunyai piawaian terbaik.

Hening Rindu, lagu runut Aku Bukan Ustazah menerima anugerah Best Sound Design Created untuk kategori Program/Siri TV Asia di Anugerah Content Asia 2025.

“Penghargaan ini sudah semestinya untuk semua pasukan Hening Rindu, rakaman studio, pencipta lagu Wan Salleh, Ikhwan Fatanna, Media Prima Berhad dan Alternate Malaysia.

“Terima kasih kerana mencurahkan jiwa dalam projek ini. Saya sangat bersyukur menjadi pelantun suara dalam lagu ini yang membawa satu jiwa besar,” katanya dalam hantaran Instagram.

Anugerah Content Asia 2025 yang dihadiri ramai penggiat seni rantau ini berlangsung di Taipei, Taiwan.

Hening Rindu terbitan Alternate Records and Talents Malaysia menewaskan Bad Guys, Furever Yours, Karuvanam, Lamput Musim 4 – Boss On The Moon dan Shape of Love.

Anugerah ContentAsia adalah sebuah acara tahunan mengiktiraf kandungan video premium dan pencapaian bakat merentasi pelbagai platform di rantau Asia.

Edisi kali ini menyaksikan 150 program yang dicalonkan, sekali gus menonjolkan persaingan sengit dalam industri kandungan kreatif serantau.

Sebelum ini penerima pingat Ibu Zain Award dalam kategori seni itu pernah menjulang trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39 menerusi karya sama. – HIBGLAM