Menurut Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd Naim, 41, dia mengambil positif segala komen yang dilontarkan netizen terhadapnya.
“Saya akui memang salah saya dan keluar daripada mulut saya sendiri.
Sebenarnya netizen membantu saya supaya saya ingat tuhan. Maksudnya supaya tidak berlebihan,” katanya ketika ditemui selepas tamat konsert minggu ketiga, di sini, semalam.
Ina juga menafikan dakwaan netizen sikapnya berubah selepas kematian suaminya, Allahyarham Suhaimi Saad.
“Tiada apa yang berubah. Cuma sejak arwah meninggal, saya perlu ambil alih peranan arwah sebelum ini. Saya perlu tegas dalam membesarkan anak-anak.
Sebenarnya dulu arwah tak benarkan saya pukul anak, menjerit atau bercakap kasar dengan mereka. Tapi bila arwah tak ada, sayalah yang kena main peranan,” jelasnya.
Tambah Ina lagi, dia sentiasa berpesan kepada Hadie supaya ingat Allah lebih-lebih lagi apabila anaknya itu diulit populariti sejak menyertai TTMM.
“Saya ingatkan dia perkara pertama mesti jaga hubungan dengan Allah. Jaga solat. Jika kita jaga hubungan dengan Allah, Allah akan jaga kita.
Soal kecaman netizen dia sudah biasa membesar melihat ibu dan bapanya dikecam, dipulau dan sebagainya.
“Jadi apabila sekarang dia pula yang melalui situasi ini, InsyaAllah dia boleh menghadapinya,” ujar Ina.
Terdahulu Ina dikecam netizen pada konsert minggu kedua TTMM apabila dia dilihat sering memotong cakap barisan juri sehingga dilabel sebagai pengurus yang tidak rilaks. – HIBGLAM