DJ Sonic, 44, atau nama sebenarnya, Awang Suffian Awang Hussein berkata, Fazura merupakan wanita tabah dikelilingi orang yang sentiasa mendukung semangatnya.
Kita takkan jadi sekuat dia (Fazura). Setahun ini dia lalui dugaan hidup yang maha hebat, tetapi tetap berdiri di hadapan.
“Sebab apa? Sebab dia yakin Allah sayang. Dia juga yakin kita ada di sekelilingnya.
“Buat Fazura, masa untuk awak terbang lebih tinggi cari kedamaian hati. Carilah bahagia awak,” coret penyampai Radio RTM itu menerusi Threads.
Tambahnya lagi, suatu hari nanti anaknya Fatima yang kini berusia empat tahun pasti berbangga mempunyai seorang ibu setabah Fazura yang cekal mendepani ujian hidup.
“Kami sentiasa doakan awak jadi wanita dan ibu yang sangat hebat. ‘Fazura, carilah bahagia awak’
Suatu hari, Fatima pasti akan bangga mempunyai ibu sekuat awak Fazura. Jatuh itu biasa, bangkit itu luar biasa,” katanya.
Terdahulu, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-27 (FFM27) itu menerusi Threads berkata, dia kini berada dalam fasa paling bahagia bersama anak tersayang, Fatima.
Fazura menjawab kenyataan seorang wanita dalam media sosial yang memberi kata-kata semangat buatnya mendepani kehidupan secara sendirian tanpa susuk seorang lelaki bernama suami.
Bekas suaminya, Fattah Amin bakal mengakhiri zaman duda hujung minggu ini dengan penyanyi Amira Othman.
Difahamkan, pasangan berkenaan memilih tarikh 14 September 2025 sebagai hari pernikahan, bertepatan dengan ulang tahun kelahiran bintang drama Suri Hati Mr. Pilot itu sendiri.
Untuk rekod, Fattah pernah mendirikan rumah tangga dengan Fazura pada 27 November 2017 namun berpisah 7 Oktober tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, kini berusia empat tahun. – HIBGLAM