Disambut ribuan peminat, Siti Nurhaliza janji bikin konsert di Jakarta

Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, meluahkan rasa teruja apabila berpeluang bertemu ribuan peminat selepas sekian la tidak membuat persembahan mega di Indonesia.

“Impian saya sudah tertunai untuk kembali menghiburkan peminat di Indonesia. Terima kasih kepada penganjur Pestapora kerana menjemput saya sehingga akhirnya berkesempatan bertemu peminat.

“Bukan sahaja peminat yang beri sokongan kepada saya, bahkan artis Indonesia juga. Saya rasa dihargai ketika berada di sini.

“Kita sama-sama menjaga. Saya membawa pelukan rakyat Malaysia buat anda semua,” katanya sebelum memulakan aksi di festival muzik itu.

Pada masa sama, pelantun lagu Kurik Kundi itu menyatakan pemilihan repertoire dibuat khusus bagi mengembalikan memori zaman popularitinya di Indonesia.

“Saya memang rindukan kalian. Terima kasih memberikan semangat yang luar biasa.

“Saya pasti yang datang hari ini mendengar lagu-lagu saya. Ada yang kenal saya kerana diperkenalkan oleh ibu bapa mereka sejak kecil

“Oleh itu hari ini, saya mahu kembalikan semula nostalgia lagu-lagu popular saya untuk dinyanyikan bersama,” ujarnya.

Kira-kira 30 minit sebelum membuka pentas, ramai peminat sudah mula memenuhi ruangan hadapan pentas bagi menyaksikan Siti dengan lebih dekat.

Beliau mempersembahkan 11 buah lagu termasuk Cindai, Biarlah Rahsia, Nirmala, Badarsila, Betapa Aku Cinta Padamu dan Wajah Kekasih.

Selain itu, Siti turut membawakan lagu Bukan Cinta Biasa, Pastikan dan Menamakanmu Cinta sambil diiringi petikan gitar komposer Indonesia, Ade Govinda.

Malah, dia juga sempat membawakan lagu ‘cover’ Malaysia yang popular di Indonesia seperti Tiara serta Gerimis Mengundang.

Momen paling manis apabila Siti menjemput rakan seperjuangan iaitu penyanyi Indonesia, Afgan menyanyikan lagu Bukan Cinta Biasa.

Hampir kesemua lagu yang dilantunkan Siti mendapat sambutan hangat daripada peminat.

Difahamkan, peminat dari Malaysia, Thailand dan Singapura juga hadir bagi menyaksikan persembahan hebat ibu kepada dua anak itu.

Sebelum mengakhiri konsert Siti berjanji bakal mengadakan konsert di Indonesia khas buat peminat di sini.

Kali terakhir Siti tampil dalam persembahan mega di Indonesia adalah menerusi Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour di Istora Senayan pada 2019.- HIBGLAM