Sabri atau nama sebenarnya, Muhammad Sabri Yunus, 64, bagaimanapun sentiasa mengingatkan permaisuri hatinya itu agar sentiasa berkongsi tentang kehebatan Islam buat diri sendiri bukan demi meraih validasi daripada orang ramai.
Tentunya, saya orang yang lebih berbangga berbanding orang lain barangkali. Mungkin (rasa bangga itu) lebih daripada Angeline sendiri.
“Apapun, bukan itu yang kami pilih dan cari atau tujuannya sekalipun. Dia buat semua itu untuk dirinya, kemudian baru buat orang orang lain.
Bila dia buat video (tentang penghijrahan) apa semua, dia buat buat untuk kawan-kawan dia. Kawan dia ramai orang Cina yang tanya macam mana dia terdetik hati peluk Islam.
“Kalau orang tanya, dia hanya akan cerita apa dia faham tentang Islam,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui usai sidang media Kelate Charity Festival di BlVckdoor Studio, semalam.
Pelakon dan pengarah telefilem Pok Ya Cong Codei itu bersyukur, keikhlasan Angeline mendalami agama hari demi hari mendapat penghormatan sekali gus memberi ruang buat khalayak mengenal agama Nabi Muhammad itu.
“Apa dia buat untuk diri sendiri memberi inspirasi kepada orang lain, alhamdulillah.
Contoh, bila orang tanya alasan dia bertudung, dia cerita dari POV (perspektif) dirinya. Maknanya, dia cerita apa yang dia faham sahaja. Tapi, hasilnya dalam juga manfaat kepada semua orang,” katanya lagi.
Baru-baru ini, Angeline atau nama Islamnya Ardini Angeline Tan diumumkan penerima anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1447H 2025M bagi kategori Saudara Baru Cemerlang (Mualaf).
Untuk rekod, Angeline yang cukup dikenali menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu memeluk Islam pada September 2023 sebelum berkahwin dengan Sabri sebulan kemudian. – HIBGLAM