Dalam kepesatan naskhah bergenre seram, aksi dan komedi, kemunculan filem bergenre Kaiju pertama negara ini hadir sebagai kelainan yang cukup mendebarkan.
Mengangkat kisah seekor cicak salamander bernama Abu yang membesar menjadi raksasa akibat pencemaran kimia, filem terbabit bukan sekadar hiburan kosong, sebaliknya sarat mesej alam sekitar.
Penerbitnya, Zamin Fakry mendedahkan ilham filem ini hadir sewaktu sesi perbincangan bersama seorang ahli akademik.
“Terus terang, idea Abu Si Raksasa tercetus selepas saya berbicara dengan tokoh alam sekitar terkenal, Profesor Dr. Hezri Adnan.
Perbincangan itu membuka mata saya tentang pencemaran dan akibatnya terhadap ekosistem.
“Kami akhirnya sepakat menjadikannya sebuah karya sains fiksyen yang dekat dengan masyarakat,” katanya kepada HibGlam.

ZAMIN berkata dengan kos mencecah RM2 juta termasuk perbelanjaan untuk CGI dan VFX, Abu Si Raksaa turut mendapat suntikan dana daripada Kementerian Komunikasi dan Finas.
Enggan berada di zon nyaman, Zamin berkata, kelainan Abu Si Raksasa menjadi taruhan utama mereka.
“Sudah terlalu banyak filem bergenre seram, aksi dan komedi. Kami mahu sesuatu yang luar biasa.
Abu Si Raksasa filem Kaiju pertama Malaysia, malah jalan ceritanya telah diolah mengikut kesesuaian masyarakat tempatan,” jelasnya.
Menelan belanja sekitar RM2 juta termasuk kos CGI dan VFX, projek tersebut turut menerima dana daripada Kementerian Komunikasi serta Finas.
Lebih istimewa, Abu Si Raksasa diarahkan Ramdan Che Hassan yang juga penulis skrip naskhah tersebut.
Ujarnya, pemilihan cicak salamander sebagai karakter utama bukannya kebetulan.
“Saya tertarik dengan cicak salamander kerana binatang itu merupakan haiwan dua alam yang unik.
Ada laporan menyatakan haiwan ini boleh membesar dengan saiz luar biasa.
“Selain itu, dia bukan haiwan ganas, justeru sesuai diangkat sebagai simbol persahabatan dan kasih sayang,” jelasnya
Pun begitu, Ramdan tidak menafikan penghasilan filem itu bukanlah mudah malah penuh dengan cabaran.
“Cabaran terbesar adalah memastikan kajian dilakukan secukupnya sebelum penggambaran.
Kami perlu berimaginasi dengan mantap kerana hampir 40 peratus filem ini bergantung pada CGI.
“Penggambaran yang berlangsung di Tasik Tadom, Kajang, Banting dan Sungai Buaya menuntut komitmen luar biasa seluruh pasukan,” tambahnya.
Filem dibintangi Sophia Albarakbah, Jaa Suzuran, Zalif Sidek, Afieq Shazwan, Azhar Sulaiman dan Maria Farida itu dijadualkan menggegarkan pawagam seluruh tanah air bermula 11 September 2025.
Abu Si Raksasa mengisahkan Zaara memelihara seekor cicak salamander bernama Abu.
Namun, takdir berubah apabila Abu terlepas ke sebuah empangan yang tercemar dengan bahan kimia akibat daripada pencuci tandas berjenama ROXCCID.
Mutasi aneh menjadikan Abu makhluk gergasi, sekali gus mencetus konflik apabila pihak berkuasa diketuai Kolonel Zamrose dan Kapten Fayyad berusaha memusnahkannya. – HIBGLAM