‘Biar tiket konsert kita semahal artis luar’

Sepanjang berlangsungnya empat malam konsert, gelanggang yang boleh memuatkan 10,000 penonton dalam satu masa itu padat dibanjiri peminat sehingga ‘full house’.

Lebih manis, ketiga-tiga anggota KRU, Datuk Norman Abd. Halim dan dua adiknya, Datuk Yusry serta Edry meraih pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR) atas kejayaan hebat tersebut.

Biarpun sudah viral dan ditonton puluhan ribu peminat, masih ada yang membuat permintaan agar kumpulan rap unggul itu meneruskan konsert kerana belum puas melihat aksi mereka.

Menurut Norman, KRU mempunyai beberapa perancangan, terutama melibatkan karier seni dalam masa terdekat dan akan datang.

DILIHAT sebagai pemikir jatuh bangun KRU sejak berdekad lalu, Norman sebenarnya masih seperti tidak percaya melihat impak dan kejayaan luar biasa konsert GenKRU yang mampu ‘sold out’ sebanyak empat malam persembahan, Mei lalu.

Setakat ini, perancangan sebegitu harus diberi banyak penelitian bagi menjamin kepuasan kepada peminat yang ternanti-nanti kejutan daripada mereka.

Perbandingan

“Kami masih ada aktiviti seni yang diumumkan. Saya tunggu beberapa perkara untuk diselesaikan dan Edry pun pulang ke tanah air Oktober nanti.

“Seperti saya umumkan sebelum ini, memang kami ada perancangan untuk buat road show, buat di negeri-negeri tetapi berdasar kajian teknikal, kita lihat agak sukar untuk buat perkara sama seperti di Kuala Lumpur (KL).

“Kami tak mahu peminat nanti membandingkan konsert di KL lebih seronok, mega dan kemudian kontroversi pun bermula.

“Kami rasa kalau nak buat konsert bersiri sebaiknya bermula di negeri dulu. Kemudian yang terakhir di KL sebab biasanya tempat lebih besar,” katanya kepada HibGlam.

Mengenai GenKRU selama empat malam, lelaki berusia 53 tahun itu mengakui konsert di Malaysia dan Singapura ada perbezaan disebabkan beberapa faktor.

Dia juga tidak menolak sekiranya banyak permintaan untuk meneruskan road show ke negeri-negeri lain kelak.

“Mulanya kami nak buat satu malam saja tiba-tiba jadi empat malam. Jadi bila kita nak ulang, malah buat konsert di Singapura pun kami terpaksa turunkan spesifikasi.

“Kita terpaksa sebab tak ada banyak masa untuk buat persediaan dan tempat pun diberikan satu hari sebelum. Semua itu sebahagian faktor.

“Kalau kita teruskan GenKRU, orang akan menjangkakan perkara sama. Tapi bila buat ke negeri-negeri, kita terpaksa mengurangkan macam-macam.

“Tapi tak bermaksud kami tak nak buat jelajah, ada perancangan cuma mungkin bukan tahun ini,” jelasnya.

MENUNGGU waktu terbaik, Norman bersama adik-adiknya, Edry dan Yusry sedang merancang membawa kejutan istimewa untuk peminat KRU.

Ditanya mengenai pencapaian MBOR yang diraih selepas mengadakan konsert empat malam, anak sulung daripada empat beradik itu mengakui tidak pernah terdetik untuk memperoleh kejayaan sedemikian.

“Terus terang, itu rezeki kami. Kadang-kadang bila kita rancang, kita tak berjaya, kami buat sejujurnya mana boleh buat.

“Bukan cakap tak merancang itu kita buat main-main, maksudnya kita tak berharap dan tak pernah terfikir pun. Memang itu satu memori yang saya sendiri akan kekal sepanjang hayat,” tuturnya tersenyum lebar memikirkan kembali kejayaan konsert berskala besar sebelum ini.

Dia juga tak menafikan setiap momen yang ditempuhi bersama darah dagingnya itu sentiasa melekat dalam ingatan.

“Sudah semestinya banyak momen menarik tapi yang paling saya tak boleh lupa setiap kali nak keluar (pentas), kami naik hidraulik dan tak nampak pengunjung.

Luar biasa

“Bila naik dari situ, nampak penonton memang saya akan teringat sampai sekarang. Momen yang luar biasa bagi saya.

“Saya cakap dengan Iman Tang (penganjur konsert) kami tak pernah dapat produksi besar sebegini sebelum ini,” jelasnya lagi.

Sebelum menggulung bicara, Norman juga sempat berkongsi pandangan terhadap keterbukaan rakyat Malaysia terhadap harga tiket konsert tempatan selaras dengan artis luar negara.

Dia meluahkan harapan agar lebih ramai artis tempatan yang mampu mengadakan konsert berskala besar di Axiata Arena.

“Dahulu tiket konsert kami RM20 dan maksimum pun RM100. Pembeli dah biasa dengan konsert luar negara yang buat ‘rate ticket’ mahal, orang boleh terima harga tiket itu.

“Mereka faham nilai produksi macam mana. Jadi sedikit sebanyak bantu artis tempatan dan juga luar negara. Biar mahal macam artis luar.

“Meskipun duit itu aliran ke luar negara tapi itu adalah bentuk hiburan, saya sendiri suka melihat banyak konsert di Malaysia.

“Biar ramai lagi artis tempatan dapat buat konsert besar macam di Axiata atau bertaraf stadium,” tutupnya. – HIBGLAM