Menurut si cantik berusia 31 tahun itu, dia berminat menceburi bidang seni malah pernah menyertai persembahan teater sewaktu di bangku sekolah.
“Saya rasa bidang seni lebih kurang sama dengan sukan kerana kedua-duanya melibatkan persembahan.
Sejak sekolah lagi saya sudah sertai persembahan drama pentas. Ramai orang cakap kalau saya bukan atlet, saya akan jadi pelakon,” katanya ketika ditemui di sidang media drama Generasi: Perfect 10, di sini, semalam.
Tambah pemenang pingat emas Sukan SEA itu lagi, dia ada menerima beberapa tawaran lakonan sejak mengambil keputusan bersara dari bidang sukan.
“Ada beberapa tawaran yang hadir. Sebagai permulaan, saya terima tawaran untuk terlibat dengan drama Generasi: Perfect 10 kerana drama ini berkisarkan tentang sukan gimnastik.
Saya berkongsi pengalaman saya dalam bidang gimnastik untuk mereka menghasilkan skrip. Dan juga ada kejutan, tetapi itu perlu ditonton sendiri nanti,” kongsinya.
Tidak mahu masuk arena seni dengan tangan kosong, Farah turut berguru dengan pelakon senior, Sofia Jane dan turut memasuki kelas dalam talian sebagai persediaan.
Ditanya watak apa yang diidamkannya sebagai pelakon, kata Farah dia inginkan watak aksi.
“Saya rasa saya mungkin ada sedikit kelebihan untuk membawakan watak aksi kerana tubuh saya yang fleksibel. Saya boleh lakukan aksi-aksi gimnastik.
Jadi untuk permulaan, mungkin boleh tawarkan saya dengan watak aksi kerana saya masih boleh lakukan gerakan dalam sukan gimnastik.
“Tetapi saya tidak mahu terikat dengan watak aksi sahaja. Saya percaya sebagai pelakon kita kena teroka setiap watak kerana kita perlu jadi orang lain,” katanya yang menjadikan Lisa Surihani sebagai idola dalam bidang lakonan. – HIBGLAM