Angkut tiga vokalis, Helloween gegarkan KL Disember depan

Menerusi konsert eksklusif bersempena empat dekad penubuhan, mereka dijadualkan tampil di Zepp Kuala Lumpur menerusi Konsert 40 Years Anniversary Tour pada 8 Disember depan.

Lebih bermakna kunjungan kedua ke Malaysia selepas julung kali ke negara ini tujuh tahun lalu dijangka menghimpunkan ramai kaki metal dari seluruh rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rockstage Entertainment, Talib Othman berkata, kehadiran Helloween yang sememangnya dinantikan penggemar tegar merupakan berita gembira untuk diraikan bersama-sama.

“Bagi peminat Helloween, inilah masanya menikmati deretan repertoire lagu yang meletakkan band ini sebagai antara kumpulan metal berpengaruh dunia.

Daripada maklum balas, kami dapati ramai pembeli tiket datang dari Filipina, Thailand, Indonesia dan Singapura yang tidak sabar ke sini hujung tahun nanti.

“Rata-rata menyatakan mahu berhimpun sempena ulang tahun ke-40 Helloween, sekali gus menjadikan persinggahan mereka sebagai memori manis untuk dikenang,” katanya.

Tambah Talib, kemunculan di Kuala Lumpur juga menandakan kepulangan semula kumpulan terbabit selepas menggegarkan Mega Star Arena pada April 2018.

KONSERT sempena empat dekad penubuhan Helloween menampilkan gabungan anggota asal dan baharu selama lebih dua jam dengan membawakan sekitar 20 lagu termasuk I Want Out dan Forever and One.

Jelalah Pumpkins United World Tour ketika itu merupakan penyatuan semula tiga figura yang menghidupkan Helloween iaitu Michael Kiske, Kai Hansen dan Andi Deris.

Kekal relevan

Trio yang mencetuskan fenomena dalam arena muzik metal itu ditubuhkan pada 1984 di Hamburg yang turut diiktiraf sebagai pelopor genre power metal rujukan global.

Antara seleksi hit mereka adalah I’m Alive, Are You Metal, Waiting for the Thunder, Pumpkins United, Why? How Many Tears, Keeper of the Seven Keys, Future World dan I Want Out.

Bersama lebih 16 album studio, Helloween terus mengukuh legasi muzik selain kekal relevan sehingga kini apatah lagi selepas tampil dengan album baharu berjudul Giants & Monsters.

Menerusi komen pendengar, himpunan lagu baharu menampilkan bunyi lebih segar, padat dan moden hasil kolaborasi penuh ketiga-tiga vokalis utama mereka.

Single sulung album ini , This Is Tokyo yang dilancarkan pada 13 Jun lalu menonjolkan video muzik berkualiti tinggi bersama paparan elemen futuristik dan sinematik.

Tiga vokalis

Sementara itu, kata Talib, formasi terkini Helloween yang menjelajah Asia termasuk Michael Kiske selaku vokalis, Andi Deris selaku vokalis, Kai Hansen (gitar/vokal) , Michael Weikath (gitar), Sascha Gerstner (gitar), Markus Grosskopf (bass) dan Daniel Loble (dram).

Kehadiran tiga vokalis dari era berbeza ini menjadi nadi utama kejayaan mereka sejak penyatuan semula pada 2017 dan membawa dinamika luar biasa dalam persembahan pentas mereka di seluruh dunia,” ujarnya.

Selepas ke Indonesia dan Malaysia, jelajah Helloween akan diteruskan ke Amerika Syarikat sebelum meneruskan pengembaraan ke Eropah menjelang musim panas 2026.

Peminat boleh mendapatkan tiket berharga RM330 – CAT 1 (Free Standing), RM430 – CAT 2 (Premium Seats), RM400 – CAT 3 (Normal Seats) dan RM680/pax – RSE Box di www.myticketempire.com. – HIBGLAM