‘Akan buat terbaik’ – Nadeera dipilih wakil Malaysia ke ABU, Mongolia

Terharu dapat mewakili negara, Nadeera atau nama sebenarnya Farah Nadeera Zaini, 31, berkata, peluang itu bukan sahaja satu penghormatan, malah menjadi detik bersejarah dalam perjalanan seninya.

“Pemilihan oleh RTM amat besar ertinya buat saya. Jujurnya, saya terharu apabila diberitahu bakal membawa nama Malaysia ke festival antarabangsa.

“Lagu Bukan Lagi Kita sangat dekat di hati saya, maka saya mahu menyampaikannya dengan penuh jiwa sebagai hadiah buat semua,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) itu, tanggungjawab tersebut lebih besar daripada sekadar bergelar penyanyi di pentas luar negara.

Meskipun pernah beraksi di Vietnam dan Indonesia, dia mengakui misi kali ini cukup istimewa kerana menghimpunkan artis ternama seluruh Asia.

“Saya sedar, di sana saya bukan sekadar Nadeera, saya adalah anak Malaysia. Setiap nota yang keluar nanti menjadi doa, harapan dan kebanggaan kita bersama. Insya-Allah, saya akan berikan persembahan terbaik.

“Saya amat bangga dapat mewakili Malaysia. Setiap kali menjejakkan kaki di luar negara, saya membawa semangat peminat tanah air.

“Kali ini lebih istimewa kerana tampil di festival antarabangsa bersama bintang serata Asia. Saya harap dapat mengharumkan nama negara dengan cara tersendiri,” ujarnya.

Bersyukur dengan segalanya, juara Big Stage musim ke-5 itu turut menitipkan penghargaan buat semua pihak yang mendukung perjalanan seninya.

“Terima kasih RTM atas kepercayaan, Rocketfuel atas sokongan tanpa henti, pasukan produksi, pemuzik serta peminat yang tidak pernah berhenti mendoakan.

“Saya harap perjalanan ke Mongolia dipermudahkan dan persembahan nanti meninggalkan kesan dalam hati penonton,” tutupnya.

Untuk rekod, ABU Song Festival ialah acara gala tahunan anjuran Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) yang menghimpunkan penyanyi dari seluruh rantau Asia.

Tidak bersifat pertandingan, festival itu menampilkan persembahan istimewa secara langsung dan kemudiannya disiarkan dengan sari kata di negara masing-masing. – HIBGLAM