Misalnya, sekelompok nama besar yang bersinar dari gelanggang atau arena gusti World Wrestling Entertainment (WWE) memilih untuk bersara sekali gus membina nama sebagai anak wayang.
Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, kebanyakan mereka, terutamanya wrestler lelaki mendapat tiket ekspres ke Hollywood dek pengaruh kuat dari gelanggang WWE.
Ada yang meroket menjadi bintang filem berpendapatan paling tinggi di dunia, ada yang terlibat skandal seks dan tidak kurang, ada juga yang sudah dijemput Tuhan tanpa disangka-sangka.
Berikut lima bekas wrestler atau peninju profesional WWE popular dunia yang kini menjadi dambaan ramai selepas bergelar pelakon filem terkemuka dan dambaan ramai.
Hulk Hogan
Legenda gusti era 80-an, mendiang Hulk Hogan antara wresler terawal menjadikan dunia lakonan sebagai karier kedua.
Filem-filem seperti No Holds Barred dan Suburban Commando mungkin tidak setanding dengan blockbuster moden, tetapi Hogan membuka jalan bagi ahli gusti lain untuk menjejakkan kaki ke Hollywood.
Stone Cold Steve Austin
Dengan persona lasak yang terbina sejak era WWE, Austin membawa keaslian itu ke layar. Filem The Condemned membuktikan kekuatannya dalam genre aksi tegar.
Meskipun tidak menawarkan variasi watak yang luas, kredibiliti dan kehadirannya tetap meninggalkan kesan.
Dwayne ‘The Rock’ Johnson
Pernah bergelar antara pelakon termahal dunia, The Rock mungkin tidak asing lagi, dia ikon hiburan dengan aura yang mampu menghidupkan apa jua filem.
Meskipun lebih dikenali dengan watak aksi dan komedi, kehadirannya di layar tetap menjadi tarikan utama penonton. Johnson membuktikan bahawa karisma adalah kunci untuk kekal relevan.
Terbaharu, The Rock bakal muncul dengan filem dinanti-nantikan ramai berjudul The Smashing Machine dan dikatakan bakal memberi pencalonan Oscar pertama buat dirinya.
John Cena
Jika dahulunya terkenal dengan slogannya ‘You can’t see me’ di pentas WWE dengan gaya ala hip-hop berseluar jorts, kini penonton tidak boleh terlepas pandang bakat lakonannya.
Cena berjaya mencuri perhatian dalam Peacemaker, menampilkan sisi jenaka, emosi, dan aksi dalam satu pakej.
Pakej itu membuatkan Cena tidak sekadar bekas ahli gusti, tetapi pelakon versatil yang mampu menghidupkan apa sahaja karakter diberikan kepadanya.
Dave Bautista
Nama Bautista kini sinonim dengan kualiti lakonan. Bermula dengan watak Drax dalam Guardians of the Galaxy, dia dianggap antara pelakon watak utama dan sokongan terbaik di Hollywood.
Filem-filem seperti Blade Runner 2049, Spectre (James Bond) dan Dune menonjolkan keupayaan dan kehebatan dirinya membawa dimensi emosi yang jarang dilihat pada bekas ahli gusti lain.
Tidak ketinggalan juga beberapa nama lain seperti Randy ‘Macho Man’ Savage yang pernah membuat penampilan cameo dalam Spider-Man, Kevin Nash menerusi Magic Mike serta Triple H dalam Blade: Trinity. – HIBGLAM