Zehra Zambri tidak suci, lafaz cerai tangguh 20 Ogos ini

Peguam Syarie, Abd. Muiz Samsuri berkata, kedua-dua pihak sudah bersetuju dengan beberapa perkara dibangkitkan melalui Majlis Tahkim selama yang berlangsung hampir dua jam.

“Plaintif serta defendan mengikuti Majlis Tahkim pagi tadi dan Alhamdulillah mereka mencapai persetujuan.

Pihak defendan juga bersetuju untuk menceraikan dan melafazkan talak pada hari ini namun malangnya atas nasihat mahkamah disebabkan plantif tidak suci, lafaz itu ditangguhkan ke minggu hadapan iaitu 20 Ogos,” katanya di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, hari ini.

Pada masa sama, Abd. Muiz turut menyatakan isu empat daripada lima tuntutan dilakukan anak guamnya yang tidak dipersetujui defendan sudah diselesaikan.

Tiada lagi isu selepas sesi hakam diselesaikan. Tadi maknanya (penyelesaian) dibuat tanpa bersyaratlah,” ujarnya.

Ditanya lagi sama ada Iqwan boleh menukar keputusan pada hari tersebut, Abd Muiz berkata perkara itu boleh berlaku.

Namun, katanya persetujuan sudah dicapai melalui proses rasmi hakam, sekali gus berharap kedua-dua pihak menghormati keputusan yang dibuat secara bersama.

Perkara itu (berubah fikiran) boleh sahaja terjadi. Kita harap tidak berlaku sebab hari ini mereka dah melalui proses hakam.

“Jadi saya fikir sepatutnya tiada isu berbangkit atau seumpamanya berlakulah,” katanya.

Sebelum ini Iqwan hanya bersetuju dengan satu daripada lima tuntutan yang dikemukakan Zehra iaitu tiada persefahaman sekali gus enggan menceraikan isterinya itu.

Antara tuntutan dikemukakan pada adalah tiada persefahaman, culas menjalankan tanggungjawab, sikap suami, pengabaian dan perkahwinan yang sudah tidak dapat diselamatkan.

Terdahulu, pada 7 Mac lalu, Zehra memfailkan permohonan cerai secara ‘fast track’ ke atas suaminya selepas mendakwa lebih tiga tahun berusaha mempertahankan rumah tangga mereka.

Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan berusia hampir tiga tahun. – HIBGLAM