Ujar Nadeera atau nama sebenarnya Farah Nadeera Zaini, 32, ketika itu nyanyiannya cenderung meniru bulat-bulat gaya penyanyi asal tanpa improvisasi sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan tenaga pengajar.
“Pertandingan pertama yang saya sertai memang tak akan saya lupa sampai bila-bila.
Mas Idayu pernah ambil buku lirik saya, kemudian dia campak dan suruh saya keluar dari bilik latihan.
“Dia jerit, ‘Kau keluar sekarang! Jangan masuk balik selagi tak ada gaya sendiri.’ Saya masa tu memang terkejut dan tergamam,” katanya dalam sebuah program audio siar.
Terkedu selain tidak tahu hendak berbuat apa selepas ‘disingkirkan’ dari sesi latihan, pelantun Bukan Lagi Kita itu terpaksa mendapatkan bantuan daripada peserta lain yang dianggap seperti abang dan kakak ketika itu.
“Lepas dimarah, saya blur. Jadi saya pergi jumpa beberapa peserta senior, minta tolong ajar macam mana nak buat improvisasi.
Saya memang ada tabiat suka tiru nyanyian penyanyi asal. Mungkin sebab dulu saya rasa itu cara terbaik untuk sampaikan lagu.
“Alhamdulillah, selepas mereka bantu, saya mula belajar ubah gaya nyanyian. Kalau tidak, memang sebiji saya ikut penyanyi asal,” ujarnya.
Rata-rata netizen turut melontarkan pelbagai reaksi susulan perkongsian tersebut selain menyifatkan teguran Mas Idayu itu sebagai tamparan awal yang menyelamatkan karier Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) itu hari ini.
“Kalau tak kena marah dulu, mungkin kita takkan dapat dengar suara mantap Nadeera sekarang,” tulis seorang pengguna media sosial.
Mas Idayu memang garang, tapi garangnya berisi. Tengok saja hasilnya, Nadeera makin hebat,” kata seorang netizen.
Untuk rekod, langkah Nadeera dalam pertandingan Vokal Bukan Sekadar Rupa terhenti di peringkat separuh akhir.
Namun pengalaman pahit itu menjadi asas penting dalam membentuk karakter muziknya hari ini sebagai penyanyi yang lebih matang dan versatil. – HIBGLAM