‘Tempoh sukar buat Shila, mohon beri ruang’

Menurut pihak pengurusnya, Aini Shuhaidah, perkara tersebut dilakukan selepas mengambil kira keadaan emosi Shila atau nama penuhnya, Nurshahila Amir Amzah, 35, yang kini tidak stabil.

“Saya ingin memaklumkan kepada orang ramai dan pihak media bahawa Shila tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan peribadi pada waktu ini berkenaan perkara yang sedang berlangsung.

“Ini merupakan satu tempoh yang sangat sukar dan penuh emosi baginya.

Sebagai individu yang terkesan secara langsung, dia kini mengutamakan kesejahteraan emosinya dan memilih untuk membiarkan proses perundangan berjalan sebagaimana sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, kes yang berpunca selepas Shila mendakwa ‘diserang’ Amy pada sesi latihan sebuah konsert baru-baru ini juga akan dikendalikan sepenuhnya oleh peguamnya.

Dia juga berharap kemelut yang berlaku dapat diselesaikan secara adil selain berterima kasih untuk setiap sokongan diberikan kepada Shila.

“Kes ini sekarang telah diserahkan secara rasmi kepada wakil peguam kami, Nini Adila yang akan mengendalikan semua urusan berkaitan mulai sekarang.

Saya dengan rendah hati memohon ruang privasi, kefahaman dan belas ihsan semua pihak ketika Shila melalui detik yang mencabar ini.

“Kami berharap agar penyelesaian yang adil, berhemah dan saksama dapat dicapai untuk semua pihak yang terlibat. Terima kasih atas sokongan berterusan, doa dan empati anda,” ujarnya.

Pada Julai lalu, Shila membuat laporan polis menyatakan dirinya telah diserang penyanyi lagenda sebelum mengesahkan individu yang dimaksudkan adalah bapa kepada pelakon Nabila Huda.

Berdasarkan siasatan awal, punca ketegangan itu disebabkan Amy tidak berpuas hati kerana Shila didakwa mencampuri urusan keluarganya.

Rentetan itu, Amy pula tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 16 Julai lalu.

Amy yang diwakili peguamnya, Datuk M Reza Hassan juga sudah menghantar notis tuntutan (LOD) kepada Shila. – HIBGLAM