‘Talak dua atau tiga diputuskan 22 September depan’

MAHKAMAH Rendah Syariah Shah Alam hari ini menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh penghujahan bertulis, manakala 22 September depan untuk keputusan kes pengesahan lafaz cerai pasangan pempengaruh media sosial, Aiman Tak Kesah dan Siti Jamumall.

Peguam yang mewakili Aiman, Mohd Noor Aizan Md. Idros berkata, kedua-dua pihak telah memberikan keterangan penuh berhubung lafaz cerai yang didakwa berlaku dalam satu siaran langsung di TikTok pada 15 Mei lalu.

“Tadi telah membabitkan keterangan pihak Aiman sebagai selaku plaintif dan juga Siti selaku defendan mengenai lafaz yang berlaku pada 15 Mei 2025.

Hakim pun sudah menyoal kedua-dua pihak ini untuk mengambil keterangan mengenai lafaz yang berlaku dan kronologi peristiwa sehingga lafaz itu berlaku.

“Jadi seterusnya, mahkamah menetapkan tarikh pertama penghujahan bertulis kedua-dua peguam pada 29 Ogos. Kemudian keputusan pada 22 September, jam 9 pagi keputusan,” katanya kepada HibGlam hari ini.

Tambahnya lagi, proses perbincangan hari ini berlangsung agak tegang berkaitan kronologi pergaduhan sehingga berlakukan lafaz cerai.

“Jadi sama ada jatuh talak dua ataupun tiga, pada hari itu baru dapat keputusan. Melainkan lepas itu ada pihak-pihak yang tak puas hati nak buat rayuan ke mahkamah tinggi. Jadi akan ada proses berikutnya dalam proses rayuan.

Ada bahagian yang biasa dan ada bahagian yang agak tegang sikitlah terutama menimbulkan perkara yang secara kronologinya membawa kepada lafaz itu.

“Aiman dituduh mengambil dadah pada malam itu dengan soalan yang provokasilah daripada pihak Siti. Jadi sebab itu berlakulah pertengkaran dan lafaz,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, berlaku ketegangan antara Aiman dan Siti pada 15 Mei. Tindakan Aiman melafazkan talak kepada Siti disaksikan lebih 25,000 penonton yang sedang menonton siaran langsung dalam media sosial Siti. – HIBGLAM