Menerusi satu kenyataan rasmi, Awesome TV menafikan sekeras-kerasnya pihak mereka berhutang dengan tiga selebriti terbabit dan kenyataan yang dikemukakan dalam media sosial sudah memburukkan reputasi syarikat.
“Semua program yang disiarkan di saluran kami diterbitkan sepenuhnya oleh syarikat produksi luar (production house).
“Kenyataan fitnah yang dikeluarkan oleh ketiga-tiga individu tersebut telah menjejaskan imej serta reputasi Awesome TV,” katanya.
Tindakan diambil susulan penyebaran dakwaan tidak berasas oleh Mohamad Amirullah Azmi (Amir Raja Lawak), Mohamad Ikhtiarudin Bin Naina Mohamad (Mamak Puteh) dan Abu Musarrif bin Abu Bakar (Abu Mamu) yang menuduh Awesome TV gagal melunaskan bayaran bagi penglibatan mereka dalam program-program televisyen disiarkan di syarikat itu.
Pihak Awesome TV menjelaskan sebarang urusan kontrak serta pembayaran artis adalah tanggungjawab penuh pihak produksi berkenaan.
Lebih mengejutkan, isu ini turut dibawa ke Parlimen oleh Syerleena Abdul Rashid (Ahli Parlimen Bukit Bendera) tanpa sebarang pemeriksaan dan fakta yang lebih teliti, sekali gus mengundang salah faham dan memberi gambaran yang tidak tepat.
“Sebagai ahli parlimen, beliau sepatutnya berlaku adil menyiasat fakta sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak benar,” katanya lagi.
Justeru itu, Awesome TV melantik firma guaman Shafie & Co untuk memfailkan saman berunsur fitnah terhadap terhadap tiga pelawak itu.
“Kami memandang serius sebarang tuduhan yang tidak berasas dan sebarang usaha untuk mencemarkan nama baik.
“Juga kekal komited untuk menyediakan kandungan berkualiti kepada rakyat Malaysia dan akan terus mempertahankan hak serta reputasi kami melalui saluran undang-undang yang sewajarnya,” katanya.
Terdahulu, pelawak Amir Raja Lawak meluahkan rasa kesal terhadap pengurusan sebuah stesen televisyen yang masih belum melangsaikan tunggakan hutang berjumlah RM18,000 sejak tiga tahun lalu. – HIBGLAM