Menurut pengurusnya, Nik Yasmin, pihaknya hanya akan berkongsi maklumat lanjut selepas laporan polis dibuat bagi menghormati prosedur siasatan.
Maklumat penuh akan kami kongsikan kepada media selepas laporan polis selesai dibuat petang ini,” katanya.
Difahamkan, Sophia atau nama penuhnya Sharifah Sophia Syed Abd Rahman 31, akan hadir ke sebuah balas polis di ibu negara bagi membuat laporan sebelum memberi kenyataan kepada pihak media.
Sementara itu, firma guaman Tetuan Aizat Izuan Shakeel yang dilantik Sophia memaklumkan laporan polis tersebut dibuat sebagai langkah mempertahankan hak anak guamnya daripada terus menjadi mangsa buli siber.
Kami selaku peguam kepada selebriti dikenali sebagai Sophia Albarakbah ingin memaklumkan bahawa anak guam kami akan membuat laporan polis berhubung isu buli siber dan gangguan seksual dalam talian yang menimpa beliau.
“Satu kenyataan dan sidang media juga akan disampaikan untuk memberikan pencerahan mengenai laporan polis yang akan dibuat serta usaha lanjut untuk menangani isu buli digital terhadap wanita dalam industri hiburan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihaknya bagaimanapun tidak memaklumkan secara terperinci laporan polis tersebut termasuk sama ada ditujukan kepada mana-mana pihak.
Sejak Ahad lalu, nama Sophia kembali menjadi topik hangat selepas momen tegang dengan Bella Astillah di pentas Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 ketika namanya diumum sebagai pemenang trofi Selebriti Feminin Terhangat yang disampaikan bekas isteri penyanyi Aliff Aziz itu.
Rentetan itu, kontroversi membabitkannya dengan Aliff kembali diungkit dan menjadi bualan ramai dalam media sosial selain dilemparkan kecaman. – HIBGLAM