Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd. Zikir, 37, berkata insiden itu berlaku apabila dia menerima mesej daripada seorang individu dikenali yang bertanyakan kesediaannya pada satu tarikh tertentu.
“Kenapa makin ramai manusia takde adab ye? Baru terima whatsApp dari seseorang yang dikenali ni tanya ‘date sekian-sekian ni Shiha free tak?’.
Saya pun tanya, ‘ada apa tu?’. Biasanya orang akan terus jawab, contohnya ‘kami ada malam gala di lokasi sekian’. Tapi tahu tak dia balas apa? ‘Buat persembahanlah. Takkan nak tengok saya meniaga pula?’,” katanya menerusi Threads.
Maruah terasa seperti dihenyak, pelantun lagu Renjana itu menegaskan cara berkomunikasi sebegitu membuatkan dia menolak jemputan tersebut.
“Lain kali tulis terus untuk malam gala ke, majlis ke.
Kalau ya pun, boleh jawab dengan sopan. Sikap begitu buat saya terus balas tak free,” ujarnya.
Tambah pemenang Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37), meskipun nombor pengurus sudah diberikan untuk urusan rasmi, individu berkenaan tetap menghubunginya secara peribadi.
Saya bukan apa, malas nak hadap perangai begitu.
“Kita pilih berurusan dengan perkara positif sahaja,” luahnya.
Rata-rata netizen bersetuju dengan kenyataannya serta menegur sikap segelintir pihak yang dianggap kurang profesional. – HIBGLAM