Menurut peguamnya, Aizat Izuan Shakeel dari firma guaman Tetuan Aizat Izuan Shakeel, laporan polis tersebut merupakan jalan terakhir yang diambil Sophia kerana merasakan semua gangguan tersebut telah memberi impak terhadap kesihatan mental dan kerjaya seninya.
“Kami sudah selesai membuat laporan polis di Balai Polis Travers hari ini.
Laporan polis ini adalah berhubung siri serangan digital yang melampau, merangkumi kecaman berunsur lucah, penghinaan, ugutan dan gangguan seksual secara terbuka terhadap Sophia.
“Ini adalah rentetan selepas dia diumumkan sebagai pemenang kategori Selebriti Feminin Terhangat pada 3 Ogos lalu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Tambah Aizat, Sophia terpaksa menerima pelbagai kecaman dan tuduhan liar berbaur fitnah.
“Ada yang mendakwa kononnya dia berdrama ketika menerima anugerah itu semata-mata untuk meraih publisiti murahan.
Lebih teruk, dia juga menerima komen-komen lucah dan menjijikkan yang bukan sahaja telah merendahkan martabatnya sebagai seorang wanita tetapi juga menormalisasikankan budaya gangguan seksual dalam talian.
“Kami mengenal pasti sebanyak lebih 10 hantaran yang dimua tnaik orang awam termasuk satu portal dan ada bukti tangkap layar untuk semua itu.
Semua benda ini dilakukan dengan niat untuk memperlekehkan dan menjatuhkan maruahnya di ruang awam.
“Dia juga mengalami tekanan emosi yang agak teruk sehinggakan menyebabkan gangguan fokus terhadap kerjaya lakonan,” ujarnya.
Sementara itu, Sophia yang dilihat sebak menyerahkan segala urusan kepada pihak peguamnya.
Saya minta maaf, saya serahkan semuanya kepada peguam saya untuk jawab,” katanya sambil mengalirkan air mata.
Sejak Ahad lalu, nama Sophia kembali menjadi topik hangat selepas momen tegang dengan Bella Astillah di pentas Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 ketika namanya diumum sebagai pemenang trofi Selebriti Feminin Terhangat yang disampaikan bekas isteri penyanyi, Aliff Aziz itu.
Rentetan itu, kontroversi membabitkannya dengan Aliff kembali diungkit dan menjadi bualan ramai dalam media sosial selain dilemparkan kecaman. – HIBGLAM