Menurut penganjurnya, Showtag Asia, pembatalan solo Mawi atau Asmawi Ani, 44, tersebut dilakukan atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.
“Dengan berat hati, kami ingin memaklumkan bahawa Konsert Tsumawi 20 Mawi World Live In KL yang telah pun ditunda pada bulan Julai terpaksa dibatalkan atas beberapa faktor yang tak dapat dielakkan.
“Kami mohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan amat menghargai sokongan anda semua selama ini,”
“Terima kasih atas pemahaman dan kepercayaan anda,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Dalam kenyataan sama, pihaknya akan bertanggungjawab untuk semua proses pemulangan tiket.
Pihaknya juga mengakui pembatalan konsert tersebut bukan satu keputusan mudah untuk dilakukan dan berterima kasih kepada semua yang sudah memberi sokongan.
“Keputusan ini bukanlah mudah. Kami telah berusaha sedaya upaya, namun ada hal-hal di luar kawalan yang memaksa kami akur dengan takdir ini.
“Kepada semua yang telah menanti, menyokong dan menzahirkan semangat, kami ucapkan jutaan terima kasih.
“Kami benar-benar menghargai setiap satu daripada anda. Teruskan bersama kami dan ini bukan titik noktah, tapi hanya koma dalam perjalanan kami,” ujarnya.
Terdahulu, Mawi yang juga bekas juara Akademi Fantasia 3 pada September lalu memaklumkan bakal menganjurkan Konsert Tsumawi Live In Kuala Lumpur di Megastar Arena, Kuala Lumpur sempena dua dekad pembabitannya dalam bidang seni.
Namun, pada Disember tahun lalu, pihak penganjur memaklumkan konsert tersebut ditunda pada Julai 2025 sebagai menghormati mangsa banjir yang terjejas di beberapa buah negeri. – HIBGLAM