Kena minyak panas, wajah, tangan Thalita melecur

Menurut Watie, kejadian tersebut berlaku ketika pemilik nama penuh Dzahira Thalita Zahra, 12, itu membantunya menggoreng kentang dan minyak panas di dalam kuali meletup selepas dipercayai terkena air.

“Kejadian berlaku ketika kami berada di dapur untuk menggoreng kentang buatan sendiri.

Kemudian minyak sudah dipanaskan terlampau lama dan ketika mahu mula memasukkan kentang ke dalam kuali, mungkin ada terkena percikan air sebelum meletup.

“Selepas kena, memang meraunglah dan semua yang ada dalam rumah panik sehingga pening cara untuk berikan rawatan awal, cari ubat pun sudah tak jumpa,” katanya kepada HibGlam hari ini.

Tambah Watie, Thalita yang meraung kesakitan sempat mempersoalkan sama ada kejadian tersebut disebabkan pernah melakukan dosa terhadapnya, Shuib atau individu lain.

“Sambil dia meraung, sempat bertanya ‘Thalita ada buat salah atau sakitkan hati mummy dengan daddy atau individu lain ke?’

Dia asyik berfikir tentang kejadian tersebut dan tertanya-tanya mengapa Allah SWT beri rasa sakit itu kepadanya.

“Bahkan dia juga bertanya dan risau sama ada kesan minyak panas pada mukanya akan membuatkan wajahnya hodoh,” ujarnya.

Sebagai seorang ibu, Watie pastinya berharap Thalita segera sembuh.

Doakan dia cepat sembuh dan kalau ada tip untuk pulihkan kesan melecur disebabkan minyak panas, tolong kongsi,” jelasnya.

Terdahulu, Watie menerusi satu hantaran Instagram mengejutkan ramai apabila memuat naik foto memaparkan tangan dan wajah  Thalita cedera akibat terkena minyak panas.

Perkongsian tersebut turut mengundang rasa simpati ramai yang rata-ratanya mendoakan kesembuhan anak kepada Allahyarham Siti Sarah itu. – HIBGLAM