‘Kami bukan saja terima menantu, malah keluarga baharu’

Tiara berkata, menyifatkan menantunya itu sebagai lelaki paling tepat menjadi teman hidup kepada puteri kesayangannya atas sikap tulus yang dimiliki.

“Kami gembira apabila Mila sudah temui insan yang bukan sahaja menyayanginya, bahkan melengkapkan dirinya. Kami juga sayangkan Abang Saef seperti anak lelaki kami sendiri.

“Selepas lapan tahun bersama, mereka membina cinta yang kukuh, teguh dan tidak berbelah bagi. Hari ini, kami bukan sahaja menerima seorang menantu lelaki, tetapi keluarga baharu.

“Keluarga kami sangat gembira dan bersyukur atas penyatuan cinta yang indah ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Tiara dan suami, Tan Sri Effendi Norwawi turut menzahirkan kegembiraan atas kelancaran majlis pernikahan anak mereka yang diadakan dalam suasana intim dengan dihadiri keluarga dan kenalan rapat.

Acara bermula dengan adat masyarakat Tionghua iaitu warisan di sebelah keluarga pengantin perempuan menerusi sesi minum teh dan adat ‘Gatecrashing’ pada 3 Ogos lalu.

Ia dianjurkan bagi menghormati warisan nenek moyang disusuli akad nikah yang sarat dengan gabungan tradisi masyarakat Sarawak dan Melayu.

Kedua-dua majlis serba indah itu diadakan di kediaman keluarga Effendi.

Akad nikah pada Jumaat lalu pula disempurnakan Ustaz Azwan dengan disaksikan bapa kedua-dua pengantin, termasuk bapa pengantin lelaki, Tan Sri Abang Iskandar.

Terdahulu, Mila dan Abang Saef kali pertama bertemu pada kejohanan jiujitsu pada 2017, sekali gus berkongsi minat sama dalam seni mempertahankan diri itu.

Pasangan terbabit kini mengusahakan pusat latihan RYU Combat Academy dan Abang Saef sebagai ketua jurulatih.

Sementara itu, pasangan pengantin turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan mereka.

“Walaupun majlis ini diadakan secara tertutup, semangat kasih sayang dan perpaduan yang terpancar diharapkan memberi inspirasi kepada hubungan bermakna serta semangat kekeluargaan ini,” kata mereka.

Mila merupakan anak sulung Tiara bersama bekas suaminya, Allahyarham Hani Mohsin.

Selain aktif sebagai pelakon, Mila merupakan atlet dan pelatih Jiu Jitsu, selain pernah menjadi jurusolek profesional dan tenaga pengajar kanak-kanak di akademi. – HIBGLAM