Bagaimanapun kata Harris, dia sedar realitinya, kejahatan di dunia sering kali mengatasi mesej kebaikan yang ingin dibawa dan disebarkan melalui muzik.
“Saya berharap dan berdoa, tentunya benar-benar menginginkan bahawa muzik dapat memberi kesan kepada segala hal yang berlaku.
“Tetapi saya rasa muzik semata-mata tidak cukup kuat untuk melawan kejahatan yang berlaku. Bagi saya, itulah sebabnya wujudnya syurga dan neraka,” katanya pada majlis pelancaran album EP terbaharunya yang berjudul Revival di sini, semalam.
Harris juga percaya Tuhan itu Maha Adil dan segala kebaikan atau kezaliman yang dilakukan oleh sesiapa sahaja akan dihakimi di akhirat.
“Bagi saya, jika tiada syurga dan neraka, saya akan hilang pertimbangan (boleh jadi gila). Saya juga ada kenalan dan ahli keluarga yang tidak percaya kepada Tuhan, tetapi mereka orang yang sangat baik.
“Saya sering bertanya kepada mereka, bagaimana anda boleh bangun setiap hari mengetahui apa yang berlaku kepada kanak-kanak di dunia ini dan tidak percaya bahawa ada keadilan?
“Bagaimana anda dapat meneruskan hidup dengan mengetahui bahawa penjenayah atau mereka yang menzalimi orang lain ini tidak akan dihukum,” ujarnya.
Tidak cuma itu, Harris J menambah, keyakinannya terhadap pembalasan Tuhan juga menjadi sumber ketenangan diri supaya tidak terlalu kusut memikirkan kebobrokan dunia.
“Jika saya tidak percaya bahawa Tuhan akan menegakkan keadilan, mungkin saya sudah berada di hospital mental sekarang.
“Namun, kerana kita percaya kepada-Nya, kita tahu keadilan pasti tiba.
“Tuhan adalah seadil-adil hakim dan orang jahat akan menerima balasan setimpal. Inilah yang membuatkan saya mampu bertahan,” ujarnya.
Berkongsi mengenai Revival, Harris berkata, album terbitan Awakening Music itu merupakan penanda positif kembalinya dia ke arena muzik selepas beberapa tahun menyepi.
EP dengan enam buah lagu tersebut turut mencerminkan kematangan dirinya sebagai seorang artis dan dari aspek peribadi.
Pada masa yang sama, penyanyi yang terkenal dengan mesej positif dalam setiap lagu itu turut meluahkan keterujaan berada di Malaysia dan bertemu peminat.
“Saya sangat gembira dapat kembali ke Malaysia dan berkongsi album ini dengan semua peminat saya di sini.
“Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya. Sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada peminat di sini adalah inspirasi terbesar.
“Saya berharap EP Revival ini dapat diterima baik dan menjadi teman dalam perjalanan spiritual mereka,” katanya.
EP Revival menampilkan gabungan lagu-lagu baharu dan karya ikonik yang disusun semula termasuklah Qalbi Fil Madinah yang menampilkan kerjasama dengan Maher Zain, O Allah, Salati dan Always Listening.
Lagu single utama, Hayati turut diiringi video muzik sinematik arahan Idris Kheder, seorang pengarah filem berdarah Perancis-Tunisia, dengan lokasi penggambaran menakjubkan di Granada, Sepanyol. – HIBGLAM