‘Itu kerja, bukan beri bayangan mahu naik pelamin’

Ujar Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 33, video berkenaan bukanlah petunjuk kepada sebarang perubahan status peribadi, sebaliknya sebahagian daripada komitmen sebagai duta kepada sebuah jenama butik pengantin.

Tiada niat langsung untuk berikan apa-apa bayangan. Saya cuma jalankan tugas kerja mempromosikan jenama bridal, itu sahaja. Bukan mahu naik pelamin.

“Jauh sekali untuk tarik perhatian sesiapa atau sengaja mahu timbulkan spekulasi,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelantun lagu Pujaan Hati itu, dia turut menyedari ramai peminat meninggalkan komen lucu serta ucapan tahniah di ruangan hantaran terbabit, termasuk ada yang berharap dapat melihatnya kembali naik pelamin.

Bagaimanapun, ibu empat anak itu menyambut reaksi terbabit dengan hati terbuka dan menyifatkannya sebagai satu bentuk kasih sayang daripada peminat.

“Saya tahu ramai yang tinggalkan komen termasuk ada yang berseloroh ucap tahniah walaupun sebenarnya tak ada apa-apa pun.

Saya anggap itu tanda mereka masih sayangkan saya, masih ambil berat tentang hidup saya.

“Saya terbuka dengan apa jua yang netizen nak cakap. Tak ambil hati pun,” ujarnya sesi latihan Konsert Festival Tentang Cinta, baru-baru ini.

Terdahulu, ruangan komen laman Instagram peserta Akademi Fantasia 8 itu dihujani pelbagai reaksi selepas tampil mengenakan gaun pengantin putih yang anggun.

Menambah sensasi, bekas suaminya Adira iaitu Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red turut meninggalkan komen pada hantaran tersebut sekali gus mengundang pelbagai teka-teki dalam kalangan peminat. – HIBGLAM