Himpun 120,000 penonton, SNBJ, MCR pecah rekod Asia Tenggara

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Ilyas Jami berkata, pencapaian itu merekodkan jualan tiket tertinggi penganjuran konsert yang pernah diadakan di rantau ini.

“Di SBNJ, buat pertama kali kita ada konsert yang berlangsung selama dua malam berturut-turut sekali gus, menjadi kebanggaan kerana kami tidak pernah adakan malam kedua untuk konsert besar di stadium ini.

“Saya juga diberitahu, jumlah 120,000 penonton bagi konsert MCR ini adalah yang terbesar di Asia Tenggara, malah di Singapura, Indonesia, Thailand dan sebagainya, semuanya berlangsung dalam stadium tertutup.

“Cuma di Malaysia sahaja ada keistimewaan ini, dapat yakinkan MCR untuk tampil selama dua malam demi memenuhi permintaan peminat tegar mereka. Ini merupakan usaha bersama semua pihak untuk menyakinkan MCR,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi sidang media khas mengenai jualan tiket konsert MCR, di sini, hari ini.

Menurut Ilyas, pihaknya juga berbangga dengan kejayaan Hello Universe selaku penganjur tempatan berkredibiliti tinggi apabila mampu mencapai kejayaan membanggakan menerusi jualan tiket untuk kedua-dua malam konsert tersebut.

“Kalau ikutkan, sebelum ini kebanyakan konsert membabitkan artis luar negara di stadium ini dibawakan penganjur antarabangsa atau pun mereka yang beroperasi di sini.

“Dalam perkembangan lain, beberapa artis antarabangsa ‘A-List’ lain turut ada dalam perancangan beberapa promoter untuk beraksi di lokasi ini pada tahun hadapan.

“Setakat pertengahan 2026, kami sudah ada tiga persembahan berskala besar yang akan berlangsung di sini dan difahamkan ramai artis luar intai peluang beraksi di SNBJ,” katanya.

Pada masa sama, Ilyas menjelaskan, sebanyak 30 peratus iaitu 40,000 penonton MCR merupakan orang luar yang datang demi mengikuti aksi band popular Amerika Syarikat (MCR) itu di Kuala Lumpur.

“Kami percaya ini adalah sumbangan besar kepada ekonomi negara terutama aspek cukai hiburan, industri hotel, penerbangan, makanan, pengangkutan dan lain-lain,” ujarnya.

Terdahulu, My Chemical Romance pernah beraksi Malaysia dalam siri jelajah The Black Parade World Tour sekitar 2007 di Stadium Merdeka yang menghimpunkan lebih 10,000 peminat.

Ini merupakan kemunculan pertama kumpulan berkenaan sejak lebih 18 tahun lalu, sekali gus membuatkan ramai penggemar tegar teruja.

Band yang diasaskan pada 2001 itu dibarisi Gerard Way selaku vokalis; Ray Toro (gitar); Frank Iero (gitar) dan Mikey Way (bes).

Mereka dikenali dengan lagu Welcome to The Black Parade, Helena, I Don’t Love You dan I’m Not Okay. – HIBGLAM