Langkah sulung di rantau Asia Pasifik itu bakal menyatukan kekuatan kandungan Hollywood premium dengan sajian hiburan Asia popular dalam satu langganan mudah.
Lebih menarik, Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand menjadi negara pertama merasai manfaat kolaborasi terbabit.
Presiden Asia Pasifik Warner Bros. Discovery, James Gibbons, berkata, dengan hanya satu langganan, penonton tempatan bakal disajikan pelbagai pilihan daripada filem dan siri Hollywood premium sehinggalah karya Asia yang mencuri tumpuan.
Berdasarkan kejayaan model bundel HBO Max di pasaran lain, tawaran baharu ini akan memberikan nilai hiburan lebih hebat kepada pengguna Asia Tenggara.
“Bukan itu sahaja, inisiatif tersebut juga bakal membantu pertumbuhan pelanggan dan kadar pengekalan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Viu merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Media PCCW, Janice Lee menyifatkan kolaborasi tersebut sebagai langkah besar dalam memenuhi cita rasa penonton yang semakin berkembang.
Kerjasama bersama Warner Bros. Discovery menjadi bukti komitmen kami untuk terus menambah pilihan hiburan.
“Menggabungkan kandungan Hollywood HBO Max dengan kegemaran Asia di Viu, kami menyediakan lebih banyak pilihan rancangan, akses lebih mudah dan nilai yang lebih tinggi,” kongsinya.
Paling mengujakan, menerusi gabungan tersebut, pelanggan akan menikmati pelbagai pilihan rancangan dan filem ikonik antaranya francais Harry Potter, Game of Thrones, DC Universe, filem blockbuster seperti A Minecraft Movie dan Sinners, serta siri HBO Original seperti The Last of Us dan The White Lotus.
Bagi penggemar Asia pula, Viu menjanjikan deretan siri Korea dan China popular seperti Running Man, 2 Days 1 Night, The Immortal Ascension, Love Has Fireworks, selain menanti naskhah baharu seperti My Youth dan Taxi Driver 3. – HIBGLAM