Ada yang boleh melukis tidak ubah seperti pelukis profesional, ada juga yang pandai bermain alat muzik klasik dan bahkan terdapat juga yang pandai melakukan ‘trick’ semacam Cristiano Ronaldo.
Bakat-bakat tersebut mungkin tidak selalu dipamerkan di atas pentas atau televisyen, tetapi apabila terbongkar, ramai yang terkesima.
Kali ini, HibGlam membawakan lima bintang ‘kimchi’ dengan kemahiran terpendam yang mungkin belum diketahui ramai.
Mina Twice
SEJAK kecil, penyanyi Mina menjalani latihan balet secara intensif sebelum memutuskan untuk bergelar idol.
Pemilik nama lengkap Mina Myoi pernah menyertai pelbagai persembahan balet pentas dan terkenal dengan teknik yang anggun dan sempurna.
Gaya tariannya dalam kumpulan, Twice jelas memperlihatkan pengaruh balet dengan gerakan yang halus dan postur tubuh yang kemas.
Sunghoon ENHYPEN
SEBELUM menyertai dunia seni, anggota kumpulan ENHYPEN iaitu Sunghoon merupakan seorang peluncur ais berirama profesional.
Dia mula bermain sukan tersebut sejak kecil dan bertanding sewaktu berusia 10 tahun dan mewakili beberapa kejohanan mewakili Korea Selatan.
Menariknya, penyanyi berusia 23 tahun itu mendedahkan tidak pernah berniat mahu terjun ke dalam bidang seni.
Sebaliknya, dia menyertai latihan di bawah agensi HYBE kerana menyangka latihan tarian akan membantu meningkatkan prestasinya dalam luncur ais.
Disebabkan latar belakangnya itu, pemilik nama lengkap Park Sunghoon sering dipuji kerana gerakan tariannya yang anggun dan penuh kawalan.
RM BTS
RAMAI peminat cukup maklum tentang hobi penyanyi RM sering berkongsi mengenai lawatan ke muzium dan galeri seni.
Namun, tahukah anda bahawa RM atau nama sebenarnya Kim Nam-joon mempunyai pengetahuan mendalam tentang seni klasik dan kontemporari. Anggota kumpulan BTS itu faham mengenai falsafah seni, sejarah pelukis serta makna di sebalik karya seni.
Lebih membanggakan, dia pernah menyumbangkan dana untuk pemuliharaan seni Korea, termasuk membiayai pemulihan patung Buddha bersejarah. Tidak hairanlah jika penyanyi berusia 31 tahun menjadi kurator pameran seni atau memiliki galeri seni peribadi sendiri.
Sakura Le Sserafim
BUKAN sekadar penyanyi biasa, anggota kumpulan Le Sserafim iaitu Sakura mempunyai minat mendalam dalam permainan video.
Pemilik nama lengkap Sakura Miyawaki meminati permainan genre RPG dan survival seperti Animal Crossing, PUBG dan League of Legends.
Sakura aktif dalam komuniti ‘gaming’ Jepun sebelum debut di Korea dan pernah menjadi tetamu jemputan dalam acara e-sukan.
Dalam sebuah rancangan, wanita berusia 27 tahun itu pernah menunjukkan konsol Nintendo Switch miliknya dan mengakui boleh bermain permainan video selama berjam-jam tanpa henti.
Woohyun Infinite
SEBELUM debut sebagai idol, penyanyi Woohyun sebenarnya bercita-cita untuk menjadi pemain bola sepak profesional.
Dia sangat aktif bermain bola sepak pada zaman sekolah dan hampir masuk ke sekolah sukan khusus.
Sehingga kini, Woohyun atau Nam Woo-hyun masih menunjukkan kemahiran bola sepak dalam beberapa rancangan beraneka ragam seperti Let’s Go! Dream Team dan Cool Kiz On The Block. – HIBGLAM