Mendendangkan lagu Melompat Lebih Tinggi dan single pertamanya, Pegang Hati, penyanyi asal Kota Kinabalu, Sabah itu berjaya membawa pulang wang tunai RM30,000 dan sebuah trofi.
Naib juara pula diungguli Zuana yang meraih RM20,000 dan trofi.
Tempat ketiga pula menjadi milik Rayme yang menerima wang tunai RM10,000 serta trofi.
Manakala Hariz Fayahet dan Keka yang berada di rempat keempat dan kelima menerima RM5,000 serta trofi.
Sementara itu, Gempak Star On Fire yang merupakan anugerah undian atas talian paling tinggi dimenangi Zury manakala anugerah Unbeatable Star diraih Pasya dengan membawa pulang wang tunai RM5,000.
Menariknya, semua pemenang menerima sebuah single terbaharu terbitan Rocketfuel Entertainment.
Selain pemenang tersebut, lima peserta lain iaitu Zury, Aliff Amie, Aril Eles, Sharee Lopes dan Pasya turut memberikan persaingan sengit.
Peserta diadili komposer dengan markah penjurian sebanyak 80 peratus manakala undian peminat pula 20 peratus.
Program Raise The Star Malaysia menyaksikan lima komposer terkenal bergabung dalam mencari lima pelapis baharu untuk mempersembahankan lagu hasil gubahan mereka di pentas akhir.
Kelima-lima komposer itu terdiri daripada Ajai, Audi Mok, Aina Abdul, Shila Amzah dan Ikhwan Fatana yang akan menggunakan pengalaman dan kreativiti mereka sepanjang penglibatan mencari bakat baharu.
Penjurian Raise The Star Malaysia terbahagi kepada dua bahagian iaitu pemarkahan komposer (juri) dan undian peminat.
Dihoskan pengacara Alif Satar dan Sherry Alhadad, Raise The Star Malaysia bersiaran secara langsung di Astro Ria (saluran 104) pada Ahad, pukul 9 malam. – HIBGLAM