Anugerah utama tersebut menjadi pengiktirafan tertinggi buat figura berpengaruh yang mencipta impak positif, mencetus momen tular serta menerima sokongan kuat daripada masyarakat sepanjang tahun.
Lebih membanggakan, pelantun lagu Penat itu turut membawa pulang gelaran Selebriti Stailo Terhangat, sekali gus membuktikan pengaruhnya merentasi lapangan seni, fesyen dan media sosial.
Tunduk dengan realiti, peminat Bella Astillah dan Syed Saddiq terpaksa akur apabila pasangan sensasi itu hanya mampu berpuas hati dengan kategori Selebriti Couple Goals Terhangat.
Pelakon Che Puan Sarimah Ibrahim pula dinobatkan sebagai Selebriti Drama Sangat Terhangat atas kehebatan lakonannya dalam drama-drama mutakhir.
Bagi kategori lain, Khai Bahar dipilih sebagai Selebriti Muzik Paling Onz & Terhangat, manakala Cik Epal diangkat Selebriti Trending Terhangat.
Fattah Amin pula mempertahankan aura sebagai Selebriti Maskulin Terhangat dan Sophia Albarakbah dinobatkan Selebriti Feminin Terhangat.
Pelakon baharu Zarif Ghazzi merangkul Selebriti Newcomer Terhangat, membuktikan bintangnya kian menyinar dalam dunia lakonan.
Kategori Tonton Original Terhangat dimenangi drama Bru, manakala Siti Saleha diangkat sebagai Selebriti Ikon Terhangat.
Dalam kategori paling mencuri perhatian, Datuk Rosyam Nor dinobatkan sebagai Selebriti Viral Terhangat, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai nama legenda yang kekal relevan.
Sementara itu, penyampai radio Hot FM, Keymi menerima kejutan manis apabila diumum pemenang Anugerah Pilihan Proton X50 Superstar.
Kemenangan tersebut melayakkan dirinya memandu pulang sebuah Proton X50 serba baharu hasil penciptaan kandungan kreatif bersama model kereta tersebut.
Kesemua pemenang ditentukan menerusi undian atas talian di laman web rasmi Tonton, yang dibuka bermula 5 hingga 31 Julai lalu.
Acara anugerah berprestij itu dikemudi hos Ain Edruce dan Fikry Ibrahim, serta dimeriahkan dengan persembahan hebat daripada barisan artis popular antaranya Ella, Anuar Zain, Marsha Milan, Iman Troye, Ara Johari, Wani Kayrie dan Sarah Suhairi.
Melodi yang diperkenalkan sejak 1992 kekal menjadi program hiburan nombor satu negara dan buat julung kali mempersembahkan AMT sebagai penghargaan kepada selebriti terhangat dari perspektif khalayak. – KOSMO! ONLINE.