‘Cukuplah tiga tahun, kembali dengan karya baharu’

Dari persembahan eksklusif hingga acara mega, Cakra bagai tidak pernah penat memanjakan halwa telinga peminat Malaysia dengan listrik vokalnya yang memukau.

Namun malam Sabtu lalu, dalam balutan emosi dan sorotan lampu yang seakan-akan menangisi sebuah perpisahan, bintang negara seberang itu mengumumkan ‘undur diri’ sementara daripada konsert solo di Malaysia.

Ujar pemilik nama sebenar Cakra Konta Paryaman itu, keputusan berundur bukanlah kerana penat atau jemu, sebaliknya memberi ruang untuk mempersiapkan diri dengan nafas seni baharu.

“Sebenarnya selepas ini saya mahu berehat. Sudah tiga tahun berturut saya membuat konsert di Malaysia. Saya rasa ini masa yang sesuai untuk saya hentikan seketika.

“Tak pasti berapa lama saya akan berehat, tetapi apabila kembali nanti, saya mahu tampil dengan lagu-lagu baharu untuk penonton dan bukan lagi mengulangi karya sama,” katanya sewaktu menutup tirai konsert Divine Concert Cakra Khan.

PERSEMBAHAN hampir tiga jam tempoh hari menyaksikan 26 buah lagu disusun dengan penceritaan emosi dan dinamik vokal yang cermat daripada Cakra.

Tambah jejaka berusia 33 tahun itu, fokusnya kini beralih kepada eksplorasi muzik dan penciptaan lagu baharu agar konsertnya kelak hadir dalam nuansa berbeza dan lebih menyengat.

“Saya mahu fokus kepada penghasilan lagu. Insya-Allah kalau kembali ke Kuala Lumpur, saya hadir membawa karya lebih segar dan bermakna.

“Tiga tahun berturut berada di pentas ini satu pengalaman luar biasa. Terima kasih kepada semua peminat yang sentiasa beri saya semangat,” ujarnya.

Simfoni emosi tanpa cela

Menyentuh soal konsert malam tersebut, Cakra membuktikan dirinya bukan sekadar penyanyi biasa.
Persembahan hampir tiga jam itu menyaksikan 26 buah lagu disusun dengan penceritaan emosi dan dinamik vokal yang cermat.

Daripada Harus Terpisah, Mencari Cinta Sejati, Kekasih Bayangan, Kau Memilih Dia sehinggalah ke Kepada Hati dan Salah Tapi Baik, setiap dendangan disampaikan seperti luahan peribadi daripada buku harian seorang pencinta yang terluka, namun tetap setia.

Lebih menghidupkan malam, Cakra menghadiahkan segmen duet luar jangka yang membuai perasaan seisi gelanggang Plenary Hall, Kuala Lumpur.

Bersama kumpulan Trio XL, mereka menyatu dalam Rindu Tak Bersuara, menyuntik kenangan terhadap eranya menjadi juri One In A Million yang tidak pernah padam.

Kemudian, suasana berubah menjadi megah saat penyanyi Titi DJ dan Faizal Lubis menyertai Cakra membawakan lagu Layar.
Faizal selaku komposer pula mengiringi dengan dentingan piano sekali gus melengkapkan segmen penuh keanggunan seni.

NYANYIAN penuh emosi daripada Cakra dan Marsha Milan yang membuatkan bulu roma penonton merinding.

Titi DJ tidak pulang tangan kosong, persembahan solo menerusi lagu klasik Sang Dewi membuatkan dewan bergema dengan sorakan penuh kagum. Penonton yang hadir seperti kembali ke era emas diva Indonesia itu.

Cakra juga tidak lokek berkongsi pentas dengan Marsha Milan ketika mendendangkan Seluruh Cinta yang menggetarkan jiwa.

Marsha kemudian mengalunkan Hening Rindu dengan penuh penjiwaan, menambahkan kepelbagaian warna malam itu.

Namun kemuncak sebenar hadir tatkala Ade Govinda muncul mengejut membawa gitar elektrik, bergandingan bersama Cakra menyampaikan lagu ciptaan komposer itu iaitu Masing-Masing, Hal Hebat dan Kamu Adalah.

Saat itu, pentas terasa seperti meledak dalam emosi dan muzik yang melatari segala rindu dan kasih yang pernah tertinggal.

Penutup air mata

Paling mengujakan, dalam satu babak istimewa, Cakra menghadiahkan peminat dengan lagu Bunyi Gitar, karya keramat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Petikan suara dan gaya santainya menyerlahkan sisi hormat dan pemahaman beliau terhadap nilai seni Nusantara.

Sebagai noktah malam dan mungkin untuk satu jangka panjang, Cakra menutup tirai dengan lagu I Will Always Love You dendangan asal Whitney Houston.

SELAIN mendendangkan untaian lagu hit sendiri, Cakra turut menyelitkan segmen tribute buat seniman ulung Malaysia, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi konsertnya kali ini.

Paparan visual perjalanan seninya di skrin belakang mengiringi lagu tersebut seperti diari yang ditutup dengan ciuman kenangan.

Penonton berdiri. Ada yang bersorak, tidak kurang juga yang menyeka air mata.

Walau berkali-kali Cakra hadir ke Malaysia, tidak pernah sekali pun persembahannya terasa ‘recycle’ atau melepaskan batuk di tangga.

Setiap kali dia berdiri di atas pentas, ada aura baharu dibawa—terkandung lagu lama diberi nafas lain, dihadirkan detik magis yang hanya hidup jika disaksikan secara langsung.

Dan seperti kata-katanya malam tersebut, dia bukan menghilang cuma mahu memberi ruang untuk menjadi seniman yang lebih matang dan segar.

Jika perpisahan ini suatu purnama, maka semoga nanti Cakra kembali sebagai mentari membawa cahaya yang lebih terang dalam muzik dan jiwanya – HIBGLAM