‘Che Ta inspirasi masyarakat tuntut keadilan secara terbuka’

Malah ada pihak yang mengaitkan dan mendakwa kematian Zara disebabkan perbuatan buli oleh pelajar senior.

Apatah lagi sebelum ini, keluarga mangsa turut mendedahkan bahawa Zara sebelum ini pernah menyuarakan ketakutannya kepada individu tertentu di asrama, namun dakwa mereka tiada tindakan jelas diambil.

Kes ini terus mencetuskan gelombang solidariti yang menuntut siasatan dilakukan secara adil dan telus apabila golongan selebriti turut memainkan peranan serta lantang bersuara demi membela nasib Zara.

Doktor dan penceramah kesihatan yang sering berhadapan dengan kes buli, Dr. Afif Mohd. Ridzwan, 44, menganggap peranan selebriti cukup penting apabila suara mereka berjaya membuka mata masyarakat terhadap isu Zara Qairina.

Sebagai doktor yang sering berhadapan dengan kes buli, saya berdiri teguh di belakang selebriti, netizen dan masyarakat yang prihatin terhadap nasib Zara serta mahu tegakkan keadilan.

“Mereka adalah penggerak kesedaran iaitu mata masyarakat atau ‘watchdog’ yang memantau setiap pergerakan kes itu.

“Tanpa gesaan atau ‘perjuangan’ selebriti, mungkin kes ini tidak berjalan atau dibincangkan secara serius seperti sekarang.

“Mungkin juga tanpa suara lantang selebriti, kes ini boleh didiamkan begitu sahaja. Jadi peranan selebriti dan netizen yang bergerak pantas sangat memberi impak besar kepada masyarakat. Masyarakat atau netizen mahukan kebenaran.

“Selagi mana peminat ikut dan terdorong untuk melakukan perkara baik disebabkan selebriti itu, selagi itulah pahala mengalir dengan izin Allah,” katanya.

Dr. Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain sebelum ini pernah beberapa kali memberi ceramah dan membuat hantaran di media sosial berkait isu Zara.

Menurutnya, antara artis yang memberi inspirasi kepadanya untuk berani bersuara ialah Rozita Che Wan.

“Sejak awal kes ini jadi bualan, saya lihat Che Ta (panggilan untuk Rozita Che Wan) adalah antara artis yang cukup lantang bersuara membela nasib Zara. Kiranya Che Ta buka mata masyarakat dalam isu ini.

Saya masih ingat, di Instagram miliknya Che Ta membongkar persoalan bagaimana suspek utama kes itu boleh meninggalkan asmara di waktu kejadian. Bagaimana pihak asrama membenarkan suspek keluar sedangkan itu adalah kes kematian.

“Menurut Che Ta lagi, berkemungkinan suspek adalah anak orang kenamaan apabila kes kematian itu tidak diambil serius ketika itu, dakwanya.

“Saya juga sokong apabila Che Ta cakap, kalau kita semua berdiam, kes itu berkemungkinan akan didiamkan. Baginya, rakyat wajar berani bersuara supaya pihak atasan terus menjalankan siasatan.

“Jika saya sebelum ini berhadapan dengan mangsa buli hanya di klinik, keberanian Che Ta bersuara dan membela nasib Adik Zara telah memberi inspirasi, semangat dan dorongan kepada orang ramai untuk menuntut keadilan secara terbuka.

“Jadi, saya dan masyarakat luar sana bersemangat untuk memperjuangkan Justice for Zara,” katanya.

Antara selebriti lain yang turut bersuara mengharapkan pembelaan sewajarnya buat Zara Qairina ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Iesya Toh, Bella Astillah, Mimi Lana dan ramai lagi.

Sementara itu, Dr. Afif berharap semua pihak memberikan kerjasama baik kepada pihak polis agar siasatan dapat dijalankan dengan lancar.

Terdahulu, Che Ta menerusi media sosialnya juga berharap kes kematian Zara Qairina ini mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Kebanyakan kes (buli) tidak terbela. Namun untuk arwah Zara, semoga ada sinar dan keadilan.

“Semoga peguam yang menguruskan kes ini, diberikan ketenangan dan kelancaran untuk menegakkan kebenaran,” luahnya. – HIBGLAM