Berita duka pemergian Mack,33, hanya dikongsikan saudara terdekatnya tiga hari kemudian dalam laman sosial dengan menyebut seluruh ahli keluarga merasai kehilangannya.
Tidak dapat digambarkan betapa sedihnya, kami ingin memaklumkan pemergian Kelley tersayang, seorang insan yang bersinar ke tempat di mana akhirnya harus kita semua tuju.
“Kelley ditemani ramai insan yang dicintainya dan pergi dengan tenang. Beliau akan dirindui semua,” tulis kenyataan tersebut.
Aktres dan produser asal Cincinnati, Ohio itu difahamkan menghidap barah yang jarang ditemui, diffuse midline glioma iaitu tumor agresif di struktur garis tengah otak termasuk talamus dan sumsum tulang belakang.
Sekitar Januari lalu, pemilik nama lengkap Kelley Lynne Klebenow itu mendedahkan mengalami sakit belakang berpanjangan yang kemudian disahkan sejenis kanser astrocytoma.
Akibat pembedahan biopsi pada sumsum tulang belakang, saya kehilangan fungsi kaki kanan dan sebahagian besar kaki kiri.
“Jadi sekarang saya hanya dapat bergerak dengan alat bantu jalan dan kerusi roda,” tulisnya.
Begitupun, Mack yang mengakui penyakit itu merupakan dugaan terbesar tetap tidak henti melafazkan rasa syukur kerana sentiasa dikelilingi insan tersayang.
Saya sangat bersyukur memiliki keluarga serta kekasih yang menyuntik semangat dan penuh kasih sayang bersama saya pada setiap detik mengharungi proses ini,” ujarnya.
Mack membawa watak Addy dalam musim kesembilan The Walking Dead iaitu antara penduduk Koloni Hilltop yang berjuang bertahan dalam dunia pasca-apokalips.
Biarpun hanya tampil dalam lima episod antara 2018 dan 2019, kehadiran Addy dalam siri terbabit meninggalkan kesan mendalam bagi penggemar tegar.
Karakter lain yang menyerlah adalah Penelope Jacobs dalam musim kelapan siri Chicago Med selain peranan sebagai Alice menerusi filem seram, Broadcast Signal Intrusion.
Bahkan dimaklumkan, ketika berdepan masalah kesihatan beliau masih menerima tawaran Universal Studio untuk filem yang dijadualkan ditayangkan tahun ini.
Terdahulu, mendiang menamatkan pengajian di Chapman University pada 2014 seterusnya bekerja di Los Angeles selama 10 tahun.
Selain berlakon, Mack juga aktif sebagai penerbit, penulis dan peminjam suara latar.
Keluarga mendiang memaklumkan majlis memperingatinya akan diadakan di Glendale, Ohio, pada 16 Ogos ini. – HIBGLAM