Aura Aliff Syukri, Ammayan ledak Talk To My Manager

Rancangan pertandingan bakat membabitkan gandingan anak-beranak selebriti yang memiliki empayar seni tersendiri itu gamat dengan aksi masing-masing.

Antara barisan peserta ialah Siti Saerah dan Amad, Sharifah Shahirah dan Audrra, Sharifah Zarina dan Athalia, Liza Hanim dan Marsya, Ina Naim dan Hadie, Ameng dan Ammar, Shuib dan Thalita serta Aziz M. Osman dan Ara Aziz.

Namun lebih mencuri perhatian bukan persaingan peserta, sebaliknya kemunculan usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri dan anak sulungnya, Ammar Ahyan (Ammayan) yang diberi mandat mengendalikan segmen Post Mortem TTMM pada pukul 11 malam.

Gandingan dua beranak itu mencetuskan gelak tawa ramai, lebih-lebih lagi Ammayan yang tampil serius serta kekal tenang mengikut skrip.

Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh menyifatkan pemilihan Aliff dan Ammayan sebagai langkah tepat.

“Aura mereka berdua cukup kuat.

Walaupun berbeza gaya, Aliff kecoh manakala Ammayan kekok, tetapi interaksi dengan penonton menjadi.

“Nilai kekeluargaan mereka juga antara sebab produksi memilih pasangan ini,” katanya dalam sebuah kenyataan.

TTMM dikemudi pengacara legenda Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil dengan barisan juri tetap Che Puan Sarimah serta Datuk AC Mizal.

Program yang berlangsung selama tujuh minggu bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam serta boleh distrim menerusi Astro GO dan sooka setiap Ahad, pukul 9 malam.

Undian peserta kegemaran juga sudah dibuka di laman Gempak.com/talktomymanager. – HIBGLAM