Angkat: ‘Mereka kata tak boleh tolong siarkan karya ini, tapi..’

Iskander berkata, Angkat arahan Feisal Azizuddin yang menjadikan jenazah sebagai subjek penceritaan berlaku pada dirinya sewaktu kehilangan arwah nenek tersayang tidak lama dulu.

“Saya dapat idea buat filem ini ketika arwah nenek meninggal dunia. Waktu itu, kami dalam perjalanan nak kebumikan arwah dan jalan raya cukup sesak.

Terfikir pada waktu itu, apa jadi kalau van jenazah rosak ketika dalam perjalanan. Saya gunakan apa yang terlintas dalam fikiran untuk menghilangkan rasa sedih.

“Saya ingat lagi ketika itu berlaku, saya cuba untuk jual insurans nyawa kepada adik-beradik. Tapi, mereka tak ambil pelan saya,” ujar Iskander usai tayangan perdana filem bernuansa komedi gelap terbabit di ibu negara baru-baru ini.

Menjawab tentang kemungkinan filem tersebut mengundang pandangan serong sebilangan audiens kerana umpama mempermainkan jenazah atau mayat tidak bernyawa, Iskander berkata, dia terbuka untuk menerima sebarang kritikan.

Kita memang dah bersedia. Bila letak filem di domain awam, ada yang suka ada yang takkan suka. Filem kami tidak sempurna.

“Kita akan sentiasa berusaha untuk menzahirkan cerita yang baik. Sentiasa terbuka dengan kritikan dengan cara positif.

Waima tak semua panggung main filem kami, tidak mengapa usahakan ini akan diteruskan kerana kita akan cuba mengubah masalah menjadi peluang. Itulah cara filem indie meneruskan survival,” katanya lagi.

Tambah Iskander, ketika filem Angkat dipertonton kepada pihak penyiar atau broadcaster, ada yang tidak bersetuju dengan mesej tersurat naskhah yang sepertinya menyokong visual menyeksa jenazah.

“Tak perlu saya dedahkan nama broadcaster, tapi ketika tunjukkan filem ini, ada panel yang sedikit ‘patuh syariah’. Dia kata tak boleh tolong siarkan karya ini.

Dia berpendapat, filem kami memaparkan banyak adegan mayat atau jenazah diseksa – mungkin akan beri mesej yang tak baik kepada audiens.

“Kami faham niat broadcaster itu tapi mereka tolong juga untuk promosi filem ini secara offline. Ini filem bergenre komedi gelap, itu yang audiens patut faham,” jelasnya.

Angkat dibintangi ramai pelakon berbakat besar termasuk Firdaus Karim, Sky Iskandar, Sara Mack Lubis dan Syazani Zikry mula ditayangkan di pawagam terpilih seluruh negara bermula 14 Ogos ini.

Buat pertama kali bagi filem Malaysia, tiket Angkat akan dijual pada harga istimewa RM10 bagi semua tiket yang dibeli antara 1 hingga 13 Ogos 2025. – HIBGLAM