‘Anak saya bukan untuk dimarahi orang sesuka hati’

Menceritakan situasi sebenar, Kak KM atau nama sebenarnya, Liana Rosli, 44, berkata, Nabila sememangnya mendapat tawaran bekerja di negara republik tersebut namun diminta berhenti kerana sebagai ibu, dia tidak sanggup melihat darah daging yang ditatang bagai minyak berdepan kemurungan akibat dimarahi majikan.

Dia juga mengakui terpaksa membayar sejumlah wang penalti kepada syarikat penerbangan tersebut apabila meminta anaknya berhenti kerja.

“Terus-terang memang saya bayar penalti sebab tidak mahu anak saya kerja di sana. Tidak ada masalah, saya bayar saya mahu anak saya balik.

Saya tidak besarkan anak saya untuk orang sesuka hati marah-marah. Saya sendiri tidak marah anak saya, ini apabila saya hantar pergi kerja kenapa hendak marah anak saya.

“Bagi saya tak apa rugi sikit, janji pulang semula anak saya. Cuma saya tidak boleh nak beritahu jumlah sebenar bayaran penalti, apa yang saya boleh kongsi adalah maksimum bayaran sebanyak RM50,000,” kata Kak KM ketika ditemui pada majlis pelancaran cawangan terbaharu Kopi Saigon milik pelakon Fasha Sandha dan suami, Aidil Aziz yang berlangsung di MyTown, Cheras baru-baru ini.

Pada masa sama, anak kepada aktres Normah Damanhuri itu bertegas, Nabila bukannya tidak lulus  sesi temuduga atau diberhentikan kerja seperti dakwaan segelintir pihak.

“Kalau hendak kata anak saya tidak lepas sesi temuduga, maka dia tidak akan diberi tiket, hotel, makanan dan jadual ketika di sana.

Setahu saya, kalau ada yang tidak terpilih mereka akan terus ditolak semasa sesi pemilihan di Kuala Lumpur lagi.

“Jika anak saya kena ‘reject’ (ditolak) tidak mungkin kami perlu bayar penalti itu pula? Kenapa ramai yang bengang dan tidak puas hati dan buat pelbagai spekulasi?,” ujar Kak KM.

Sungguhpun begitu, tidak bermakna anaknya langsung tidak boleh ditegur atau tidak boleh bekerja di bawah orang lain.

Anak saya boleh sahaja berkerja dengan orang, tetapi dia sudah berusia 22 tahun, jadi kena cakap elok-elok dengan dia dan bersikap profesional sahaja.

“Saya mengaku memang saya yang salah minta dia berhenti kerja sebab saya tidak sanggup. Anak saya bukan untuk diperlekehkan orang lain,” tuturnya.

Sementara itu, ibu kepada empat orang cahaya mata itu juga memaklumkan bahawa isu tersebut sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada Nabila.

“Anak saya tidak sekuat saya, apabila kena kecam pastinya dia akan rasa sedih. Tetapi saya ada menasihatinya.

Layak atau tidak, sekali temuduga sahaja Nabila terus dapat, itu rezeki dia,” kata Kak KM.

Nabila hanya sempat bertahan sebulan sebelum mengambil keputusan untuk berhenti daripada menjalani latihan sebagai pramugari di Singapura.

Menerusi hantaran di Instagram Story, Nabila mengakui tidak gembira sepanjang menjalani latihan di sana dan kerjaya sebagai pramugari kurang sesuai untuknya. – HIBGLAM