Anak masih kecil, saya perlu bekerja- Suraya Borhan

Reda dan cuba berlapang dada, Suraya berkata dia sudah mengetahui hal tersebut dua minggu lalu sebelum diumumkan secara rasmi.

“Sebenarnya saya dah tahu dua minggu lepas tetapi semalam dimaklumkan sebagai hari terakhir walaupun hakikatnya kontrak saya sepatutnya tamat 12 Ogos depan.

Selepas tolak cuti memang semalam hari terakhir saya bekerja.

“Dua minggu memang terkejut (kontrak tamat) tetapi semalam lebih kepada rasa sebak dan sedih pada momen akhir nak tamatkan kerja di Suria FM selepas sembilan tahun,” katanya kepada HibGlam hari ini.

Suraya juga terharu melihat ramai menzahirkan rasa sedih dengan berita pengundurannya dari Suria FM semalam.

“Saya terkejut juga bila tengok ramai sedih sebab ingatkan hanya satu perkara biasa terutama sebagai pekerja berstatus kontrak.

Selepas umumkan perkara itu semalam, tak sangka dan terharu rupa-rupanya ramai menyokong dalam diam, rasa sebak,” ujarnya.

Dia turut memaklumkan masih perlu bekerja bagi menampung segala komitmen dan kelangsungan hidup.

“Banyak persoalan yang orang tanya, tapi ada benda tidak boleh jawab.

Kalau nampak saya tiba-tiba di tempat lain, saya akan bekerja di situlah, masih ada komitmen yang perlu dilunaskan.

“Anak-anak pun masih kecil, jadi komitmen untuk bekerja masih lagi diperlukan. Cuma saya tidak lagi berada di Suria sebagai penyampai radio,” jelasnya.

Dalam masa sama, dia juga terbuka menerima sebarang tawaran kerja daripada pelbagai bidang dan tidak terikat dengan kerjaya sebagai penyampai radio sahaja.

“Setakat ini tiada tawaran lain tetapi saya tak mahu terikat dalam satu bidang sahaja.

Saya okey dan terbuka untuk mencuba kerjaya lain. Kalau ada rezeki untuk televisyen, saya terima sebab rezeki kita tak tahu,” katanya lagi.

Semalam, Suria FM menerusi satu kenyataan rasmi memaklumkan semalam merupakan hari terakhir Suraya bertugas selepas sembilan tahun bergelar deejay di situ.

Suraya juga disifatkan sebagai staf yang berdedikasi tinggi sepanjang berkhidmat di stesen radio tersebut.

Sebelum Suraya, aktor Datuk Fizz Fairuz pada 18 Julai lalu mengejutkan ramai apabila mengumumkan pengundurannya daripada kerjaya sebagai penyampai radio di Suria FM menerusi segmen Morning Morning Suria. – HIBGLAM